Media Sosial: Medan Ukur Tahap Kebahagiaan?

Sahsiah Nor Syariza Tahir 02-Jul-2019

Apakah posting yang sering muncul pada newsfeed media sosial anda?

Adakah ia berkenaan perkembangan terkini kehidupan rakan-rakan anda, berita-berita semasa dan sensasi, isu-isu tular terkini atau gambar-gambar rakan-rakan anda yang sedang bercuti di luar negara dan kelihatan bahagia dengan kehidupan masing-masing?

Itu semua adalah perkara yang sering kita lihat di media-media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WeChat, WhatsApp atau apa-apa sahaja platform yang ada pada masa ini.

Era media sosial kini telah menjadikan platform-platform tersebut bagaikan sebuah medan untuk setiap orang berlumba-lumba mempamerkan kehidupan masing-masing, sehinggakan ada yang tidak segan silu berkongsi perkara-perkara yang tidak manis untuk dijadikan tatapan umum.

Trend ini menjadi semakin parah apabila ia telah mewujudkan satu stigma dalam kalangan masyarakat bahawa tahap kebahagiaan atau kesempurnaan kehidupan seseorang itu diukur dengan gambar-gambar di media sosial yang dimuat naik.

Misalnya, jika seseorang itu kerap berkongsi gambar-gambarnya bersama dengan suami dan anak-anak dengan kapsyen-kapsyen yang gembira, masyarakat cenderung untuk berfikir bahawa individu tersebut mempunyai sebuah kehidupan yang bahagia.

Rentetan daripada itu, lebih malang jika kita membanding-bandingkan pula kehidupan kita dengan rakan-rakan lain yang kelihatan seperti sangat bahagia, hanya kerana setiap hari dia memuat naik foto bersama suami dan anak-anak.

Jangan terkejut kerana ada antara rakan kita itu yang sebenarnya menjalani kehidupan yang sangat berbeza dengan apa yang dipertontonkan di media sosial.

Penulis sendiri sering melihat orang di sekeliling yang sedang makan di restoran bersama suami, isteri ataupun anak-anak, yang mana masing-masing sibuk mengadap telefon pintar masing-masing.

Tiba pada suatu ketika, sang isteri mengajak suami atau anak-anak berswafoto bersama dengan aksi yang mesra. Namun, sebaik selesai berswafoto, terus sahaja buat hal masing-masing.

Lebih malang apabila anak-anak kecil hanya termenung, bermain sendiri atau menagih perhatian daripada ibu bapa, namun tidak diendahkan kerana mereka sibuk dengan peranti pintar masing-masing.

Keadaan yang sama berlaku pada sambutan Aidilfitri misalnya, apabila kesemua saudara-mara berkumpul beramai-ramai.

Generasi milenial khususnya, sering berkepit dengan peranti pintar masing-masing dan tidak bergaul sesama saudara-mara. Hanya sekali-sekala, mereka berswafoto dengan gambar yang mesra dan kapsyen gembira, namun hakikatnya, hanyalah lakonan semata-mata.

Situasi-situasi ini mungkin nampak remeh pada sesetengah orang, namun sebenarnya mampu menjadi satu penyakit dalam masyarakat yang akhirnya membentuk sebuah komuniti yang berpura-pura serta tidak memahami erti kebahagiaan sebenar.

Baru-baru ini, pasangan pelakon, Aeril Zafrel dan isterinya, Wawa Zainal dituduh tidak sayangkan anak lelaki mereka, Attar, kerana dilihat tidak berkongsi gambar kanak-kanak itu ketika mereka pergi bercuti selain lebih kerap memuat naik gambar anak perempuan mereka, Hayla.

Aeril yang berang dengan tuduhan netizen yang tidak bertanggungjawab itu tampil menjelaskan bahawa dia dan isteri tidak membawa Attar pergi bercuti bersama dan hanya membawa Hayla kerana dia perlu bersekolah.

Kisah yang hampir sama berlaku kepada usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, yang turut dituduh oleh netizen tidak berlaku adil kepada dua anak angkatnya, Qayyum dan Ameena kerana tidak membawa mereka bercuti bersama ke United Kingdom.

Aliff dan isterinya menjawab tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa kedua-dua anak kecil itu masih terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jelas di sini bahawa, masyarakat kini telah mempunyai satu cara pemikiran bahawa jika kita tidak mempamerkan kebahagiaan di media sosial, itu bererti hidup kita tidak bahagia atau tidak disayangi.

Sebaliknya, jika ada yang sering mempamerkan kisah kehidupan ‘bahagia’ mereka setiap hari di media sosial, orang itulah yang paling bahagia dan semua orang ingin menjadi seperti mereka.

Inilah yang menjadi akar umbi kepada penyakit berlumba-lumba untuk menayangkan kehidupan masing-masing kerana enggan dipandang sebagai seseorang yang mempunyai kehidupan yang sepi.

Sebenarnya, tidak salah untuk berkongsi kebahagiaan dengan orang lain di media sosial. Namun, biarlah berpada-pada dan tidak sampai bercerita secara terperinci mengenai sesuatu perkara.

Kerana daripada pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri, sebenarnya lebih ramai orang ingin mengambil tahu kisah kita disebabkan mereka ingin bergosip sesama rakan lain yang akhirnya melahirkan perasaan iri hati dan dengki.

Bagaimanapun, ada juga rakan-rakan kita yang benar-benar prihatin, jujur dan ikhlas dalam turut berkongsi kegembiraan melihat kebahagiaan kita.

Justeru, terpulang kepada anda untuk menjadi pengguna media sosial yang seperti mana.

Adakah yang gemar membanding-bandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain, iri hati dengan setiap kehidupan bahagia rakan-rakan, tidak gemar berkongsi kisah peribadi namun menjalani kehidupan yang sangat bahagia atau berpura-pura dalam mempamerkan kebahagiaan yang ternyata lakonan semata-mata?

Jadilah pengguna media sosial yang bijak, dan bukannya netizen yang tabiatnya hanya gemar ‘membawang’ di setiap ruangan komen.

 

Foto: Afta Putta Gunawan, Belle Co, Ashutosh Sonwani, Picjumbo.com, Rodolfo Quirós (Pexels), M.T. Elgassier (Unsplash) & Instagram Aeril Zafrel.