Melahir dan membina anak menjadi bijak

Membina anak menjadi bijak © Odua | Dreamstime.com

Sering kita merungut, apabila keputusan peperiksaan anak-anak kita kurang menyerlah, dengan bermacam andaian dan tanggapan kepada anak-anak kita yang hanya menatijahkan kemunduran potensi mereka. Bahkan terkadang keluar dari mulut kita kata-kata yang menggambarkan kelemahan atau kebodohan anak-anak kita.

Lalu bagaimana hendak kita didik anak-anak menjadi bijak? Mudahnya, didiklah anak-anak kita agar mereka:

  • Menginsafi dan baiki kesilapan mereka
  • Berusaha untuk merancang kecemerlangan masa depan

Dari Abi Ya’la Shaddad bin Aus r.a, dari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang bijak itu ialah yang memuhasabah (kesilapan) diri sendiri dan beramal untuk apa yang akan datang selepas kematian. Dan orang yang lemah itu ialah yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah.” (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi, hasan sahih)

Menyedari kesilapan adalah antara langkah terawal dalam pendidikan. Lihatlah anak-anak kecil yang belajar berjalan. Bukanlah mereka mula belajar berjalan dengan kejatuhan? Ada kajian yang menunjukkan bahawa anak-anak kecil akan jatuh lebih 2000 kali secara purata sebelum mereka boleh berjalan dengan stabil.

Ini bukti jelas yang menunjukkan kepentingan untuk belajar dari kesilapan tanpa sesekali berputus asa malah terus mara sehingga mencapai tujuan murni dalam sesuatu proses pendidikan yang kita atau anak-anak kita lalui. Ini juga bukti kehebatan potensi setiap insan yang sebenarnya mampu untuk terus belajar dan bangkit dari kesilapan dan kegagalan tanpa rasa kecewa.

Antara perkara yang akan merugikan kita dalam menyempurnakan pendidikan anak-anak ialah kekeliruan dalam memahami dan menghayati matlamat pendidikan. Anak-anak sering mudah dikelirukan matlamat mereka dengan wujudnya permainan dan hiburan yang tidak terkawal.

Permainan dan hiburan secara asasnya merupakan sebahagian dari keperluan naluri setiap insan termasuk anak-anak, selagi mana dilakukan dengan terkawal dan tidak berlebih-lebihan. Kejelasan tujuan dan matlamat yang dikukuhkan dengan keyakinan untuk mencapainya adalah intipati utama kejayaan setiap orang yang cemerlang lagi berjaya.

Rasulullah SAW sangat jelas dan murni tujuan setiap tindakannya sehingga Baginda berjaya membangunkan begitu ramai tokoh-tokoh manusia yang hebat dalam sejarah Islam. Mereka yang berjaya dalam segenap bidang, sama ada sukan, perniagaan atau apa jua bidang, sentiasa fokus dengan tujuan mereka dan tidak mudah terpesong dengan tarikan-tarikan picisan.

Tiadalah tujuan lebih besar bagi setiap insan melainkan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dan berbakti di jalan-Nya.