Melaka dan percutian Taman Tema Air

Melancong Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Melaka dan percutian Taman Tema Air
Melaka dan percutian Taman Tema Air © Ravindran John Smith | Dreamstime.com

Percutian keluarga lebih sempurna sekiranya anda memasukkan aktiviti santai di pantai atau Taman Tema Air dalam program yang diatur.  Ia kerana air adalah elemen yang baik untuk memberi ransangan positif kepada minda serta kesegaran kepada diri sewaktu bercuti sekali gus melupakan seketika tugas dan kerja.

Percutian Taman Tema Air

Melaka memang terkenal dengan kesan tinggalan sejarah kerana pernah dijajah. Namun, ia turut menawarkan produk pelancongan berasaskan pelancongan rekreasi dan taman tema air yang menarik yang boleh dikunjungi.

Selepas tol Ayer Keroh, berdekatan dengan Taman Botanikal Melaka. Terdapat sebuah taman tema air yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Melaka Wonderland Theme Park and Resort.  Sebanyak 12 tarikan unik yang ditawarkan seperti Tornado Chaser, Kamikaze Race, 1 Big Wave Pool dan Adventure Island.

Satu lagi taman tema air yang ada di Melaka terletak dekat dengan tol Simpang Ampat. Taman Tema Air A’ Famosa ini juga popular dan menjadi tarikan ramai. Sekiranya anda memandu kenderaan dari Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa satu jam sahaja ke tol Simpang Ampat, Alor Gajah.

Taman tema air ini adalah antara taman tema air terbaik di Melaka dan Malaysia. Ia menyediakan pantai buatan manusia dan luncur air setinggi tujuh tingkat serta halangan air seperti dalam rancangan Ninja Warrior.

Paling mengujakan selain taman tema air, ia turut menawarkan Taman Tema Safari dan Taman Tema Cowboy.  Anda juga boleh menginap di sini kerana terdapat pelbagai jenis penginapan ditawarkan.

Taman Tema Air Asahan

Taman Tema Air Asahan di Laman Tiga Budaya adalah sebuah lagi tarikan yang menyeronokan yang boleh dilawati bersama keluarga.  Bagi pencinta alam, sambil bermain air, anda juga boleh menikmati pemandangan hijau yang mempesona dari Gunung Ledang. Kawasan ini jauh dari hiruk pikuk kota dan memberi ketenangan kepada

Bagi yang menggemari percutian resort yang mempunyai perkhidmatan apartmen, Taman Tema Air Bayoo Lagoon Park boleh dimasukkan dalam senarai.

Selain bersantai di taman tema air, anda juga boleh mengunjungi kolam air panas yang terletak di Bemban, Jasin dan kolam air panas Cerana Putih dan Gadek, di Alor Gajah.

Anda boleh membiarkan anak-anak bermain dalam kolam kanak-kanak.  Bagi yang mahu merawat kulit, boleh merendam badan dalam kolam air panas yang disediakan.

Melaka mempunyai pantai yang panjang

Kelebihan Melaka adalah kerana ia mempunyai pantai yang panjang dari Kuala Linggi hingga ke Sungai Rambai.  Pantai Klebang adalah antara pantai yang unik kerana kedudukan strategik berdekatan bandar Melaka.  Apabila anda berada di Pantai Klebang, seolah-olah anda berada di padang pasir dengan bukit-bukit pasir kecil yang menambah keunikan pantai ini.

Anda juga boleh bersantai menaiki bot menyusuri Sungai Melaka dan menikmati aktiviti Melaka waktu malam dari sudut yang berbeza. Keindahan cahaya penuh warna-warni yang terpancar dari bangunan-bangunan di sepanjang sungai sungguh memukau.

Pemandangan indah dan klasik ini juga boleh disaksikan pada waktu siang dengan lebih jelas sambil memahat kenangan dengan foto yang menarik.

Selain itu, bagi anda yang meminati pantai, boleh bersantai hujung minggu di Pantai Puteri Tanjung Kling, Pantai Pengkalan Balak dan Pantai Tanjung Bidara di Masjid Tanah.

Anda juga boleh mengunjungi pantai-pantai di sepanjang Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi. Selain menawarkan banyak aktiviti pantai, anda berpeluang mandi-manda dan merakamkan foto.

Bawalah peralatan solat yang lengkap bersama.  Anda boleh berhenti di mana-mana masjid atau surau berdekatan yang bukan sahaja bersih tetapi juga besar dan nyaman untuk beribadat sepanjang bermusafir. Selamat berhujung minggu.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.