Melaka teroka sumber air baharu tangani isu gangguan bekalan

Adea Ghafar 24-Jan-2020
Melaka
Melaka © Antonio Duque | Dreamstime.com

Air mentah dari Sungai Linggi di Alor Gajah akan dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam meneroka sumber air baharu. Akibat cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia kini, pilihan sumber air ini dibuat bagi menampung keperluan bekalan air yang semakin sedikit. Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, kajian terperinci bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) juga sedang dijalankan supaya perlaksanaannya dapat dibuat secepat mungkin.

Beliau mengumumkan perkara ini selepas menghadiri rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina oleh Datuk Seri Son Chen Chuan, Pengarah Urusan Oriental Food Industries Holdings Berhad. Tambah Adly, daripada membiarkan Sungai Linggi mengalir ke laut, eloklah ia gunakan sepenuhnya untuk keperluan rakyat. Selain itu, pendekatan jangka pendek yang diambil adalah melalui kerjasama dengan Negeri Sembilan dan Johor untuk mendapatkan bantuan sumber air terawat.

Melalui usaha saling bantu membantu dengan negeri yang tidak mengalami krisis air, Melaka bersedia untuk membalas bantuan di masa hadapan apabila keadaan pulih semula dan apabila mereka pula yang memerlukan bantuan. Adly juga menasihati orang ramai supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya bagi menghadapi catuan bekalan air Rabu ini. Kepada penduduk yang terjejas, diharap dapat mengamalkan jimat cermat apabila menggunakan air setiap hari.

Adly menegaskan, Melaka akan melaksanakan catuan bekalan air secara harian bermula 29 Januari dengan melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8% penduduk negeri. Namun, catuan ini tidak melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan. Kesemua ini adalah untuk memastikan bekalan air adalah cukup apabila menghadapi cuaca panas dan kering fasa kedua Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada bulan Mac.