Melakukan wuduk – kita dan berwuduk

Agama Hanita Hassan 18-Sep-2020
dreamstime_s_181415874
Kita dan wuduk © Elmirex2009 | Dreamstime.com

Wuduk adalah perkara paling asas dan penting sebelum kita melakukan solat.  Ibadah wajib yang kita lakukan akan menjadi sia-sia sekiranya wuduk kita tidak sempurna. Ketika berwuduk, kita digalakkan membasuh lebih daripada had yang wajib pada muka, tangan dan kaki iaitu sebanyak tiga kali.

Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk.”

Dari segi bahasa, wuduk ialah nama bagi perbuatan yang menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Dari segi syarak, wuduk bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat iaitu membasuh muka dan membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat dan rukun tertentu.

Hukum berwuduk ialah wajib atau fardu iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada fardu atau sembahyang sunat ketika hendak melakukan tawaf Kaabah sama ada tawaf fardu atau sunat, ketika hendak menyentuh al-Quran dan sebagainya.

Banyak perkara yang disunatkan berwuduk.  Antaranya ialah membaca atau mendengar bacaan al-quran atau hadis, membawa kitab tafsir, kitab hadis atau kitab fiqh.  Melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di Arafah, melakukan sa’i, menziarahi makam Rasulullah SAW, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan memperbaharui wuduk.

Hikmah berwuduk adalah kerana anggota badan untuk mengambil wuduk terdedah dengan kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan sebagainya. Secara tersuratnya anggota-anggota wuduk terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada secara zahir mahupun batin.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, aku telah mendengar orang yang  paling aku sayangi (kekasihku) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Perhiasan orang yang beriman (pada hari kiamat) akan sampai ke tempat sampainya air wuduk (pada tangan dan kakinya).”  (Hadis riwayat Muslim)

Orang mukmin yang beriman dan beramal soleh akan mendapat perhiasan yang istimewa di syurga mengikut setakat mana anggota mereka yang dibasuh ketika mengambil wuduk.  Allah SWT sangat cinta dan kasih kepada hamba-Nya yang beriman dan kemudian menjaga kebersihan di semua bidang kehidupan sama ada zahir ataupun batin.

Semasa berwuduk, hendaklah kita mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri ketika membasuh tangan dan kaki.  Kita menggosokkan tangan pada anggota ketika membasuhnya dan melebihkan basuhan muka ke bahagian kepala dan membasuh bahagian atas dua siku dan buku lali.

Islam mengajar kita supaya elakkan pembaziran.  Begitu juga dalam berwuduk.  Bersederhanalah menggunakan air tanpa berlebih-lebihan dan terlalu berdikit-dikit, mengadap kiblat ketika berwuduk, tidak bercakap-cakap dan berdoa setelah selesai wuduk.

Manakala sunat sewaktu berwuduk ialah membaca ‘Basmalah’, membasuh dua belah tapak tangan sebanyak tiga kali, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dengan tangan kanan dan mengeluarkannya dengan tangan kiri, menyelati janggut yang tebal, menyapu seluruh kepala, menyelati celah-celah jari kedua-dua belah tangan dan kaki,  menyapu dua telinga luar dan dalam dengan air yang lain selain daripada air buat menyapu  kepala.

Justeru marilah kita sama-sama perbaiki cara berwuduk  dan pertingkatkan kualitinya.  Kita amalkan wuduk yang sempurna supaya di akhirat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk yang sempurna.