Melazimi surah al-Kahfi

Al-Quran Hanita Hassan
Hanita Hassan
Melazimi surah al-Kahfi
Melazimi surah al-Kahfi © Heru Nur Samsu Dreamstime.com

Biasanya setiap malam Jumaat, di masjid atau surau akan mengadakan bacaan surah Yaasin secara berjemaah. Amalan ini sering dilakukan selepas solat maghrib dan selesai sebelum solat Isyak.

Surah Yaasin adalah surah yang pendek dan mudah dibaca.

Melazimi surah al-Kahfi

Walau bagaimanapun, kita juga dituntut supaya membaca  surah al-Kahfi pada malam Jumaat kerana banyak manfaatnya. Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Kaabah).”

(Hadis riwayat ad-Darimi)

Surah al-Kahfi adalah surat ke-18 di dalam al-Quran yang mengandungi 110 ayat.  Ia termasuk dalam surah Makkiyah iaitu surah yang turun sebelum berlakunya hijrah ke Madinah.

Al-Kahfi bermaksud Gua dalam bahasa Arab.  Ashabul Kahfi pula bermaksud ‘Penghuni-penghuni Gua’. Nama ini diambil daripada kisah pada ayat 9-26 di dalam surah Al-Kahfi.  Allah SWT telah menidurkan beberapa orang pemuda selama 309 tahun lamanya di dalam sebuah gua.

Ringkasan kisah Ashabul Kahfi 

Imam Ibn Kathir menceritakan secara ringkas akan kisah Ashabul Kahfi ini di dalam kitabnya:

“Kisah ini menunjukkan bahawa ia berlaku pada zaman awal seperti mana yang disebut oleh sebahagian ahli tafsir bahawa ia berlaku selepas daripada al-Masih dan pada waktu itu mereka (kaum Ashabul Kahfi) adalah Nasrani.

Apa yang nyata daripada teks (ayat al-Quran) bahawa kaum mereka adalah musyrikin (syirik kepada Allah SWT) dengan menyembah berhala. Telah berkata ramai daripada kalangan ahli tafsir, sejarah dan selain daripada mereka, kisah ini dikatakan berlaku pada zaman raja Diqyanus.

Tambahan pula, mereka daripada kalangan anak-anak pembesar dan dikatakan juga bahawa mereka daripada kalangan anak-anak kepada raja-raja pada waktu itu. Mereka telah berpakat untuk berkumpul pada hari perayaan kaum mereka.

Lalu mereka melihat bahawa kaum mereka telah sujud kepada berhala serta membesar atau mengagungkan berhala-berhala tersebut. Ini kerana, mereka telah melihat dengan pandangan hati yang suci, di samping Allah SWT telah membuka hati-hati mereka daripada sesuatu yang membawa kepada kelalaian dan mengilhamkan petunjuk kepada mereka.

Dengan itu, mereka mengetahui bahawa kaum mereka tidak berada dalam kebenaran maka mereka pun keluar daripada agama mereka (agama asal) dan berpindah kepada menyembah Allah SWT yang esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya”.  (al-Bidayah wa al-Nihayah, 2:114)

Surah al-Kahfi menjadi benteng keimanan

Kita dikehendaki melazimi 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir dalam surah al-Kahfi.  Sekiranya kita dapat menghafalnya adalah lebih baik untuk meningkatkan keimanan serta memperoleh pemeliharaan Allah SWT daripada fitnah dajjal.

Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran. Manakala 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur.

Allah SWT menurunkan surah al-Kahfi supaya ia dapat menjadi benteng keimanan buat setiap Muslim menerusi model utamanya sendiri, iaitu segolongan pemuda yang teguh keimanannya.