Meleraikan dua pihak yang bertelagah

Keluarga Hanita Hassan 08-Okt-2020
dreamstime_xs_181045506
Damaikan pertelagahan © Odua | Dreamstime.com

Kehidupan ini tidak pernah terlepas daripada cabaran dan dugaan.  Ini termasuk meleraikan dua pihak yang bertelagah. Perselisihan adalah lumrah.  Ia terjadi akibat kurangnya persefahaman atau tidak mengambil berat hubungan sesama manusia. Sejak dahulu lagi tidak kira dalam keluarga mahupun masyarakat, politik atau kenegaraan,  percanggahan dan perpecahan pernah berlaku.

Kita tidak akan berasa tenteram apabila ada pihak yang bertelagah terutama jika ia berlaku di hadapan mata. Sekiranya ia berlaku dalam sebuah keluarga, kesannya akan ditanggung oleh anak-anak. Begitu juga dalam konteks negara, ia akan menyebabkan rakyat tertindas dan menderita.

Mengekalkan silaturahim tanggungjawab bersama

Tanggungjawab membina semula silaturahim yang retak atau terputus bukan sahaja terletak di bahu kedua-dua pihak yang bertelagah, tetapi juga orang sekeliling yang melihat supaya ia dapat didamaikan.

Meskipun tanggungjawab membina semula silaturahim bukan mudah, namun membiarkan perselisihan berlanjutan akan merosakkan hubungan dalam masyarakat sedangkan kita mampu berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan jika dua puak dari orang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya…”

(Surah al-Hujurat, ayat 9)

Peranan orang tengah sangat penting untuk meleraikan pertikaian dua belah pihak. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menjadi orang tengah dalam  meleraikan permasalahan berkaitan isu peletakan Hajar Aswad. Baginda SAW dapat menyelesai masalah kabilah-kabilah Arab secara adil dan bijaksana.

Akhirnya, batu Hajar Aswad dapat diletak semula di tempat asal tanpa memihak kepada mana-mana kabilah. Malah, Nabi Muhammad SAW turut mendapat pujian daripada ketua kabilah yang bertelagah itu.

Allah SWT sangat suka apabila dua pihak berdamai kerana pertelagahan umpama membuka pintu fitnah yang membawa mudarat kepada kedua-dua pihak. Ketika penduduk Quba berselisih, Nabi Muhammad SAW sanggup berkunjung ke Quba setiap hari sabtu bagi menyelesaikan masalah mereka.

Meleraikan dan menyelesaikan masalah

Apabila perbalahan sampai ke kemuncaknya, Baginda SAW sendiri meleraikan serta menyeru Bilal: “Wahai Bilal, aku akan pergi menyelesaikan masalah penduduk Quba. Jika masuk waktu solat, pergilah azan untuk jemaah masjid ini dan mintalah kepada Abu Bakar untuk menjadi imam di sini.”

Betapa bersungguhnya Nabi Muhammad SAW dalam usaha mendamaikan dua puak yang bertelagah dan penyatuan itu adalah sesuatu yang sungguh besar nilainya di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya benarlah firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Tidak ada kebaikan pada sebarang usaha melainkan usaha untuk menganjurkan sedekah, berbuat kebaikan dan meleraikan permusuhan antara dua manusa. Maka sesiapa yang berbuat demikian kerana menuntut keredaan Allah SWT, akan mendapat ganjaran yang besar.”

(Surah an-Nisa, ayat 114)

Hari ini teknologi turut menjadi asbab pertelagahan yang berlaku sesama kita sehingga bermasam muka, berkecil hati dan tidak bertegur sapa.  Pesanan ringkas yang tersebar melalui pelbagai aplikasi media adakala juga boleh merosakkan hubungan tanpa kita sedar. Inilah dugaan akhir zaman.

Hakikatnya, jalan ke arah kebaikan sangat banyak, dan meleraikan dua pihak yang bertelagah adalah salah satu daripadanya. Dengan menyatukan dua pihak yang bertelagah juga menyumbang ke arah kebaikan.