Memahami anak perempuan

Kehidupan Hanita Hassan 04-Ogo-2020
Memahami anak gadis © Szefei | Dreamstime.com

Sejak dahulu hingga kini, tidak kira masyarakat, bangsa atau agama, tugas mengasuh dan mendidik anak perempuan tidak pernah mudah. Sebaliknya kian mencabar dari sehari ke sehari.

Jika kita singkap sejarah, kehidupan bangsa Arab jahiliah sebelum perutusan Nabi SAW, wanita bukan sahaja dinafikan hak, tetapi juga dipandang sebagai punca kepada aib dan penyebab kemiskinan sehingga ditanam hidup-hidup setelah anak itu lahir.

Allah SWT telah merakamkan peristiwa tersebut dalam al-Quran, surah An-Nahl, ayat 58. Apabila Islam muncul, kedudukan wanita semakin baik, malah Rasulullah SAW menekankan supaya berbuat baik terhadap anak perempuan.

Didikan anak perempuan yang paling baik ialah mengikut cara Rasulullah SAW. Kenalkan anak perempuan dengan Allah SWT seawal bayi lagi. Caranya, setiap kali menidurkan anak perempuan, dodoikan dengan zikir, selawat dan lagu-lagu nasyid memuji nama Allah SWT.

Pakaikan anak perempuan dengan pakaian yang sopan, berlengan panjang dan menutup kepala.  Bukan pakaian yang menampakkan lengan, ketiak atau kaki serta peha.  Pendekatan ini mendidik anak perempuan dengan sifat malu dalam diri.

Apabila usia anak perempuan mencecah tujuh tahun, ajarnya solat di awal waktu dan solat bersama-sama anak. Jika anak sengaja meninggalkan solat, tegur dan nasihat dengan baik.

Setelah usianya 10 tahun ke atas dan masih sengaja tidak solat, jika perlu anda boleh memutuskan jenis hukuman seperti merotan.  Rotan di betis dan tapak kaki dengan kekuatan sederhana tanpa menyebabkan luka atau cedera.  Elak memukul anak dari bahagian lutut ke atas terutama bahagian muka. Gunakan objek seperti rotan dan bukan anggota badan seperti tangan atau kaki.

Anda juga perlu memastikan anak perempuan anda mempunyai ilmu solat yang betul dan sempurna, ilmu berpuasa, menutup aurat, berhadas kecil dan besar, adab, akhlak, batas pergaulan dan dosa besar serta tahu kisah-kisah Nabi dan Rasul.

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Sesungguhnya asas pendidikan yang betul kepada anak perempuan boleh menjadikannya wanita hebat dan ahli syurga.  Justeru bahagikan masa anda agar dapat bersama anak perempuan dan mendengar luahan hatinya dalam semua perkara.

Hormati pendapat anak dan bantu mereka dengan jujur, ikhlas dan tanpa ego.  Dengar penjelasan anak sebelum membuat keputusan menghukum. Sentiasa berlembut dan bermuzakarah dalam segala hal.

Anak perempuan perlu dibelai dengan emosi dan sokongan anda.  Elak daripada mengenakan disiplin yang keras dan ketat.  Wujudkan suasana Rumahku Syurgaku dan memberi ilmu serta panduan dalam memilih kawan yang baik.

Sesungguhnya Rasulullah SAW juga memiliki anak perempuan iaitu Zainab r.a, Ruqayyah r.a, Ummu Kalthum r.a dan Fatimah az-Zahra r.a.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah SWT akan memasukkan mereka ke syurga.” (HR Al-Bukhari)