Memahami dan mengawal emosi anak

Fahami emosi anak © Faiz Zaki | Dreamstime.com

Emosi adalah penyumbang kepada tekanan seseorang.  Ia berasal daripada perkataan Greek ‘Emovere’ yang bermaksud ‘untuk keluar’. Biasanya emosi ditonjolkan keluar untuk mendapat kepuasan kendiri.

Menurut definasi Kamus Pelajar Edisi Kedua, emosi adalah perasaan jiwa atau batin yang kuat seperti sedih atau marah.  Keadaan perasaan atau fikiran yang melibatkan psikologi dan fisiologi kepada seseorang.

Kebanyakan perkara yang dihadirkan Allah SWT di dunia ini ada pasangan, lawan dan pengimbangnya.  Begitu juga dengan emosi.  Emosi buruk atau negatif lawannya baik atau positif.

Anak adalah cerminan kita sebagai ibu bapa. Baik buruk perangai seseorang anak itu bergantung kepada sikap  kita sebagai ibu bapa. Ini kerana sikap anak ditentukan oleh orang yang paling rapat dengannya.  Selain guru, rakan sebaya serta orang di sekeliling.

Reaksi ibu bapa kepada masalah anak memberi pengaruh yang besar kepada emosi mereka.  Khusus kepada anak yang sedang meniti usia remaja.  Sekiranya kita menerima setiap perkara secara positif, anak yang bermasalah ini pasti boleh bangkit semula.

Begitulah sebaliknya.  Sekiranya ibu bapa bersikap negatif, tanpa sedar kita telah menjerumuskan emosi anak-anak ke dalam kancah tekanan dan kemurungan.  Sehingga suatu tahap, anak-anak hanya mengurung diri di rumah dan  tidak mahu berjumpa orang.

Seorang ibu paling memahami emosi anak.  Kedua-dua ibu dan anak mempunyai daya tarikan graviti tersendiri.  Sekiranya anak beremosi, ibu boleh merasai perasaan itu.  Sejak kecil, menginjak remaja dan meningkat usia dewasa, ibulah orang yang paling dipercayai oleh anak, sama ada anak perempuan mahupun lelaki.

Ibu adalah pendengar yang setia kepada semua masalah.  Suka atau duka biasanya dikongsi dengan ibu yang kebanyakan masa dihabiskan di rumah.  Naluri ibu yang lembut dan bersifat penyayang juga begitu disenangi dan mudah dibawa berbincang.

Apabila seorang ibu rapat dengan anak, dia mampu membantu meluruskan kekusutan dan mencari jalan penyelesaian yang sebaiknya. Meskipun tugas bapa mencari rezeki di luar juga tidak kurang hebat, namun itu tidak bermakna kita bersikap terkecuali daripada mengambil tahu emosi anak.

Sesungguhnya setiap masalah yang hadir akan didatangkan dengan penawarnya.  Kajian mendapati kandungan kurma dapat membantu dari segi memberikan kesihatan fizikal yang baik kepada orang yang memakannya. Kesan dari fizikal yang sihat dan baik pula dapat mengawal tekanan emosi seseorang.

Allah SWT menyebutkan pokok kurma dan buahnya pada beberapa ayat di dalam al-Quran. Ini menunjukkan betapa istimewanya buah kurma ini. Antara ayat-ayat tersebut ialah: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.”  (Surah Maryam, ayat 25)

Keistimewaan dan peranan kurma turut disebut dalam beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya ialah:  “Rumah yang tidak mempunyai kurma merupakan rumah yang penghuninya sentiasa lapar.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru berusahalah membantu anak-anak mengawal emosi mereka.  Seperti kata pepatah, melentur buluh biar daripada rebungnya.  Kita bantu anak, dalam masa yang sama kita bantu diri dan masyarakat untuk hidup dengan lebih sihat dan harmoni.