Memahami maksud tiga perkataan dalam surah al-Israk

Al-Quran 11 Mac 2021 Zalika Adam
Terkini oleh Zalika Adam
Memahami maksud tiga perkataan dalam surah al-Israk
Memahami maksud tiga perkataan dalam surah al-Israk © Oskanov | Dreamstime.com

Pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 kenabian Nabi Muhammad SAW (622 Masihi), ketika Baginda berumur 52 tahun.

Dalam artikal ini kita cuba menyingkap tiga perkataan berkaitan dengan tiga perkataan pertama dari surah al-Israa’ (al-Israk).

Memahami maksud tiga perkataan awal  dalam surah al-Israk

Firman Allah SWT:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Jerusalem), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Israa’, ayat 1)

Pertama: Subhana

Subhana (سبحان) bermaksud ‘Maha Suci’.

Apabila Allah SWT menyebutkan perkataan ‘Subhana’ iaitu tanda kekuasaan Allah SWT. Kalimah tasbih ini Allah datangkan untuk menyucikan zat-Nya yang Maha Suci. Iaitu sucinya Allah daripada segala bentuk kesyirikkan dan pensyirikkan.

Ini bermaksud Allah Taala bersifat dengan keesaan, ketunggalan yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun, hanya Dia sahaja yang layak untuk disucikan. Peristiwa Israk dan Mikraj ini menunjukkan Allah SWT bersifat dengan keesaan-Nya.

Hanya Allah SWT yang memperlakukan dan memperbuat kerja serta memperjalankan hamba-Nya. Allah telah menunjukkan kehebatan dan kebesaran-Nya melalui peristiwa yang tidak pernah berlaku kepada insan lain kecuali Rasulullah SAW.

Sejarah ini adalah cerita hebat. Sebab itulah apabila kita mengkagumi sesuatu perkara, kita disunatkan menyebut ‘Subhanallah’.

Kedua: Asraa

Asraa (أسرى) bermaksud ‘Memperjalankan’.

Pada perkataan ‘Asraa’ iaitu Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad SAW, bukan Baginda yang  berjalan sendiri. Iaitu perjalanan yang Rasulullah tempuhi penuh dengan perkara-perkara yang menakjubkan.

Peristiwa yang berlaku selepas waktu Isyak. Pada malam tersebut, Rasulullah SAW tidur di rumah sepupunya bernama Ummu Hani.

Ketiga: Abdihi

Abdihi (عبده) bermaksud ‘Hamba-Nya’.

Allah SWT dengan  menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya. Iaitu Nabi Muhammad SAW diperakukan dengan ‘perakuan daripada penciptanya’ yang mencipta Baginda ketika Allah menyebut ‘Abdihi’.

Tidak ada penisbahan yang paling bermakna dan paling besar yang Allah Taala berikan kepada seseorang melainkan Allah menisbahkan kehambaan seseorang itu kepada ‘hamba-Nya’.

Oleh itu, kita perlulah menghayati ketiga-tiga perkataan ini, sebelum memahami secara keseluruhan peristiwa Israk dan Mikraj.

Semoga dengan berbekalkan ketauhidan kepada Allah SWT kita dapat memahami peristiwa yang berlaku pada malam Israk dan Mikraj, walaupun ia menjangkaui pengetahuan akal semula jadi kita yang terbatas.