Memahami semangat hari raya

Kepercayaan Zalina Majid 31-Jul-2020
Memahami semangat hari raya © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Hari terus berlalu, sementara umat Islam menanti perayaan yang menggembirakan. Suasana di saat itu pastinya mengamit kebahagiaan dan hubungan kasih-sayang. Hari raya adalah hari yang penuh bermakna bila mana kita saling kunjung mengunjungi dan bermaafan. Dimaklumi, bahawa hari raya diraikan setelah berakhirnya kefarduan yang besar.

Terdapat dua perayaan yang diraikan oleh umat Islam di dunia. Aidilfitri tiba setelah ibadah puasa di bulan Ramadan dilaksanakan. Manakala umat Islam yang berhimpun di padang Arafah dan melakukan korban, perayaan itu dinamakan sebagai Aidiladha. Ini bermaksud bahawa hari raya dalam Islam adalah ritual keagamaan yang berkaitan dengan ibadah.

Justeru, bukanlah hari raya itu bermaksud kita memakai pakaian baru dan mewah. Hakikat hari raya yang sebenar ialah mentaati Allah SWT dengan niat yang ikhlas. Maka, kita dituntut supaya bergembira dalam bentuk yang terbaik.

Allah SWT telah mensyariatkan hari raya agar kita bergembira, mengenal diri dan menyucikan jiwa. Di hari lebaran kita diharuskan bergembira. Adapun kesempatan berhari raya itu disediakan oleh Allah untuk tujuan tersebut.

Usah kita bersikap kecewa, sedih dan berperasaan negatif. Kesedihan itu mula mempengaruhi dan kita akan kehilangan nikmat kegembiraan. Sebaliknya kita mestilah menyakini dan mensyukuri nikmat Allah SWT yang dikurniakan.

Rasulullah SAW telah menyarankan kepada umat Islam agar menunjukkan kegembiraan di hari raya dengan beberapa nyanyian dan pukulan rebana yang dibenarkan.

Diriwayatkan dari Aisyah r.a, bahawa dia berkata: “Abu Bakar masuk ke rumahku dan di sisiku ada dua orang kanak-kanak perempuan kecil dari kaum Ansar, sedang menyanyi seperti yang didendangkan oleh kaum Ansar pada peristiwa perang Bu’aats. Dan mereka berdua bukanlah penyanyi. Maka Abu Bakar berkata, ‘Apakah ada suara seruling syaitan di rumah Nabi SAW ?’ Dan hari itu adalah hari raya Aidilfitri. Maka Nabi SAW berkata, ‘Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya, dan ini adalah hari raya kita’.” (Hadis riwayat Al-Bukhari, 952; Muslim, 892; Ibnu Majah, 1898)

Para ulama telah menafsirkan hadis ini tentang perlunya bergembira di hari raya, memukul rebana dan menyanyi dengan kata-kata yang tidak dilarang adalah perkara yang dibenarkan dan bukan sesuatu yang salah. Ia masih merupakan acara keagamaan di hari raya.

Ziarah menziarahi dan bersilaturrahim sesama saudara adalah acara kebiasaan di musim perayaan. Konsep ini memberi pengaruh dan berperanan menyatukan hubungan kekeluargaan. Dengan keadaan demikian ia mewujudkan semangat  toleransi, saling mengasihi dan berkongsi kegembiraan dalam persaudaraan.

Oleh itu, marilah manfaatkan cuti hari raya dengan menyebarkan kasih-sayang dalam suasana yang positif dan kita mampu mengaturnya secara bijaksana.