Memanah berkuda sukan bertaraf dunia

Sukan Zalina Majid 29-Ogo-2020
dreamstime_s_45014179
Sukan memanah berkuda di Selangor Turf Club © Rushour | Dreamstime.com

Sukan memanah berkuda mula mendapat tempat di kalangan masyarakat tanahair.  Memanah antara sukan yang paling sukar kerana memerlukan fokus dan koordinasi tangan serta mata yang baik. Apatah lagi cabaran berganda apabila perlu mengendali kuda dengan baik sambil memanah.

Adapun sukan memanah berkuda ini cukup berpotensi mengharumkan nama Malaysia oleh pemanah-pemanah hebat sebagai atlet negara. Mereka mampu mencatatkan prestasi hebat dalam sukan antarabangsa.

Biarpun tidak sepopular seperti negara Iran, Turki, Korea dan Jepun, Bulgaria, Amerika Syarikat, Hungary, Finland, Mongolia, dan Singapura, namun kehebatan peserta pemanah  Malaysia sentiasa mendapat tempat dan sangat dikagumi.

Beberapa pemanah hebat yang dapat kita kenali, menjadi tumpuan dan pernah mencipta nama di negara luar dan mengharumkan nama Malaysia antaranya Azizan Zakaria, Mohd Ridzuan Zakaria, Erina Emelina, Mohd Safwan Abdul Rashid, dan Muhamad Akmal Mohamad Dahalan.

Manakala sebuah organisasi dikenali sebagai AS-SIBAQ menjadi tulang belakang dan menguruskan beberapa pertandingan memanah berkuda di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa serta berjaya memenangi beberapa pingat emas dan gangsa di kejohanan bertaraf dunia.

Pada bulan Mac dan Nov 2017 serta 11 Jun 2018 AS-SIBAQ telah diiktiraf sebagai satu organisasi untuk pembangunan dan Promosi Memanah Berkuda di Malaysia oleh Majlis Ekuin Malaysia dan badan pemantau IHAA di Malaysia oleh International Horseback Archery Alliance Eropah.

Salah seorang pemanah Negara Azizan Zakaria yang pernah memenangi pingat gangsa dalam acara  Korea Selatan berkata sukan itu memerlukan ketangkasan untuk menunggang serta mengawal kuda dan pada masa yang sama dapat membidik sasaran dengan tepat.

Jika dilihat, sukan ini adalah gabungan kemahiran berkuda dan memanah. Ia mencabar mental dan fizikal pemainnya. Kerana itu, sukan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu sukan memanah tradisional dan sukan memanah berkuda. Kini, kedua-dua bahagian ini menjadi sukan bertaraf dunia.

Justeru, kehebatan sukan perlu mendapat perhatian pihak yang berkaitan agar sama-sama menyumbang dan menaikkan sukan ini. Ketahuilah, sejarah juga melakar bahawa memanah adalah sukan yang digemari oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi sunahnya.