Memanah, sukan sunah yang penuh falsafah

Falsafah Tari Basir
Pendapat oleh Tari Basir
Memanah, sukan sunah yang penuh falsafah
Memanah, sukan sunah yang penuh falsafah © unsplash.com/@vincefleming

‘Memanah, sukan sunah yang penuh falsafah’ – Umumnya mengetahui memanah salah satu daripada sunah yang dituntut dalam Islam. Walaupun pada awalnya memanah merupakan cabang ketenteraan, namun seiring dengan peredaran zaman, ia berevolusi menjadi hobi dan sukan.

Sehingga hari ini, memanah telah berkembang dalam bermacam jenis teknik, gaya dan jenis busur. Sama ada teknik three fingers atau thumb release, gaya memanah Korea mahupun Turki, atau jenis busur recurve, compound mahupun tradisional, umat Islam bebas memilih bersesuaian dengan sunah memanah.

Banyak kajian dilakukan bagi melihat manfaat memanah daripada sudut kesihatan. Hakikatnya, memanah melangkaui keduanya bahkan penuh dengan falsafahnya sendiri. Tidak hairanlah Imam Syafi’e mengibaratkan berdoa ketika solat Tahajud seperti anak panah yang mengenai tepat sasarannya.

Falsafah sebelum memanah

Sebagaimana sukan-sukan yang lain, sesi regangan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum memanah. Hal ini sudah tentu menjaga badan daripada kesakitan, terutamanya bagi mereka yang baru mula-mula memanah.

Gaya memanah Tukri misalnya memfokuskan senaman terhadap bahu dan pergelangan tangan kerana keduanya antara anggota badan yang penting ketika memanah.

Pemilihan busur ialah antara perkara utama yang perlu dititik beratkan sebelum memanah. Pemilihan poundage busur yang tidak sesuai, terlalu ringan atau terlalu berat memberi implikasi besar ketika memanah.

Poundage busur yang terlalu ringan boleh menyebabkan busur patah ketika ditarik, kerana tenaga yang digunakan berlebihan. Jika terlalu berat, ia berisiko menyebabkan kecederaan malah boleh mematikan semangat. Sudah tentu, hobi atau sukan yang menarik ialah yang sesuai dengan kemampuan.

Selain itu, aspek peralatan lain juga perlu diambil kira. Kesesuaian kelenturan atau spine anak panah dengan busur, jenisnya sama ada fiberglass, carbon mahupun buluh atau kayu, pemakaian sarung tangan atau thumb ring, perlindung lengan atau arm guard dan lain-lain lagi.

Falsafah ketika dan selepas memanah

Aspek-aspek ini jelas menunjukkan bahawa persediaan rapi begitu penting sebelum memanah, terutamanya penyesuaian dengan diri. Begitu juga kehidupan, persediaan rapi mampu menyiapkan seseorang Muslim dalam menghadapi ujian, sehingga menjadi sebab kejayaannya.

Memanah gaya tradisional sering kali dikaitkan dengan mengikut naluri, atau instinctive. Naluri yang tenang dan ketajaman fokus menjadi kunci penting ketika membidik anak panah, agar tepat mengenai sasaran.

Diri yang bercelaru, mood yang tidak tenang dan ketiadaan fokus sudah tentu menyebabkan bidikan tidak tepat dan anak panah tidak mengenai sasaran yang diidamkan. Bukankah elemen ketenangan dan fokus yang tinggi menjadikan seseorang Muslim berjaya menghadapi ujian kehidupannya?

Bertenang, agar kewarasan boleh dicapai dan keputusan bernas boleh dicapai. Fokus, agar matlamat diketahui jelas dan tahu cara mencapainya. Untuk anak panah mengenai tepat, cara memegang busur dan melepaskan anak panah juga perlulah betul.

Mula memanah sekarang

Memegang busur dengan tangan yang bengkok boleh menyebabkan kecederaan, kerana tali akan melibas tangan tersebut. Lepasan anak panah yang tidak kemas pula menyebabkan anak panah tidak akan menepati sasaran, kerana telah lari daripada kedudukannya.

Bagaimanakah seseorang Muslim mampu berjaya dalam hidupnya, jika dirinya sedia bengkok dari awal, dan tidak tetap dalam pegangannya? Dengan manfaat kesihatan yang banyak dan falsafah kehidupan yang tersirat, seseorang Muslim sepatutnya sudah mula bergiat dengan sukan sunah ini.

Ayuh, mulalah memanah dari sekarang. Sudahlah badan menjadi sihat, akal fikiran menjadi tajam, malahan pahala sunah juga diraih.

*Penulis merupakan ahli kelab Enver Archery, kelab panahan tradisional gaya Turki di Malaysia.