Memancing terapi hidup sihat

Masyarakat 27 Feb 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Memancing terapi hidup sihat
Memancing terapi hidup sihat © Ricky Kresslein | Dreamstime.com

Memancing adalah aktiviti luar yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia boleh dilakukan oleh pelbagai golongan, lelaki dan wanita, taraf hidup dan usia, muda, remaja, dewasa atau tua.

Meskipun tidak banyak melibatkan aktiviti fizikal tetapi ia adalah aktiviti sihat. Tidak kurang ada yang menjadikan aktiviti memancing sebagai sumber pendapatan dan protein keluarga.

Memancing terapi hidup sihat

Aktiviti memancing boleh dilakukan di sawah, sungai, benteng, kolam, pantai dan laut dalam bergantung kepada bajet masing-masing.  Bagi pemancing kolam atau sungai, hasil tangkapan selain dimakan sendiri, jika terlalu banyak dijual secara dalam talian atau diberi kepada ahli keluarga dan jiran tetangga.

Jika kita bercampur dengan kaki pancing, ada kalangan mereka yang pernah mendapat hasil tangkapan ikan seperti siakap putih, siakap merah dan haruan dengan berat lebih tiga kilogram. Ia bukan sahaja hobi tetapi dalam masa yang sama boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan.

Berbanding pemancing laut dalam, meskipun mencabar setiap kali mata kail direntap dan ikan tersangkut pada mata kail melawan dan cuba melepas diri.  Situasi yang boleh berlarutan sehingga lebih dari 10 minit itu meskipun meletihkan tetapi sangat teruja apabila dapat menaikkan ikan ke dalam bot.  Ikan yang biasa dipancing di laut dalam seperti Ebek, Gerepoh, Tenggiri, Kerapu Bara, Layaran, Bayan dan Gerong Belang.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang maksudnya:

“Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.”

(Surah al-Maidah, ayat 96)

Jangan sampai lalai tanggungjawab dan ibadah  

Meskipun hobi memancing aktiviti sihat, namun anda perlu memastikan ia tidak sampai melalaikan ibadah kepada Allah SWT dan tanggungjawab kepada perkara lain seperti keluarga, isteri dan anak-anak, kerja, dan sebagainya. Peruntukan untuk bajet memancing juga hendaklah berpatutan supaya tidak mengganggu kewangan keluarga.

Sekiranya hobi ini boleh mengajar sesuatu dalam hidup, seperti mengajar anda untuk sentiasa bersabar, ia adalah baik untuk anda.  Ia kerana kesabaran adalah sesuatu yang perlu dilatih untuk mendapatkannya.

Ia juga mengajar erti tidak berputus asa setiap kali umpan tidak mengena.  Bagi yang ingin mencari ketenangan dan mengurangkan tekanan kerja atau lari dari kesesakan kota, memancing boleh membantu anda.

Tidak kira hobi memancing atau apa sahaja yang anda pilih sebagai gaya hidup terkini.  Anda hendaklah memastikan ia menambah nilai hidup dalam semua aspek terutama kepada Allah SWT.

Dengan melihat kelebihan Allah Taala melalui kewujudan ikan-ikan di sungai dan lautan, akan membuatkan anda lebih insaf akan kebesaran-Nya. Sekali gus, ini dapat mendidik anda menjadi umat-Nya yang lebih bertakwa dan beriman.