Memandu Keliling Hua Hin Untuk Pengembaraan Lebih Menyeronokkan!

Pernah jejak kaki ke Hua Hin, Thailand? Destinasi percutian  ini memang kurang popular berbanding Pattaya, tetapi percayalah Hua Hin menjanjikan pengalaman  menggembirakan. Terletak kira-kira 3 jam setengah dari Bangkok, Hua Hin sesuai untuk mereka yang sukakan kesederhanaan.

Hua Hin jauh daripada hiruk-pikuk kota yang menjengkelkan. Sebab itu, destinasi ini merupakan destinasi kegemaran kerabat Diraja Thailand. Seronok dapat berbasikal di malam hari dan meronda keliling bandar dengan motosikal.

Jika dahulu perlu mengambil bas atau keretapi dari kota Bangkok, kini perjalanan lebih mudah kerana penerbangan tambang murah Air Asia sudah menawarkan perjalanan terus ke Hua Hin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Bagaimanapun, satu perkara yang anda harus tahu, sistem pengangkutan di Hua Hin tidak seperti di Bangkok, jadi perlu gunakan private coach, teksi, bas henti-henti  atau Tuk-Tuk untuk ke mana-mana. Tetapi, bukan semua tarikan berada di laluan pengangkutan awam.

Jadi, mahu tidak mahu perlu menyewa teksi untuk ke lokasi yang mahu dituju atau ikuti pakej day trip untuk melawat tempat-tempat yang ingin dikunjungi. Jika memilih perkhidmatan teksi,  harganya boleh mencecah THB1000 untuk perjalanan pergi dan balik (keluar dari pusat bandar Hua Hin).

Untuk pengalaman lebih menyeronokkan, lebih baik buat self-drive. Situasi trafik di sini tidak sesibuk kota Bangkok, jadi boleh memandu dengan selesa. Paling penting, sewa kenderaan daripada syarikat yang dipercayai, lengkap dengan perlindungan insurans. Salah satunya Easy Car Rental Hua Hin yang mendapat maklum balas memberangsangkan di kebanyakan websites.

Berikut antara lokasi-lokasi menarik yang boleh dilawati di Hua Hin:-

1) Stesen Keretapi Hua Hin

Ikon pelancongan di Hua Hin ini mesti dikunjungi jika sudah menjejakkan kaki di Hua Hin. Dibina ketika pemerintahan Raja Rama IV, stesen ini merupakan salah satu stesen keretapi tertua dan tercantik di Thailand.

Senibinanya terinspirasi dari Mrigadayavan Palace yang terletak di Cha Am, daerah Petchaburi. Tarikan utama di stesen ini ialah Bilik Menunggu Diraja yang sehingga kini masih digunakan oleh Kerabat Diraja.

Stesen keretapi ini sentiasa dipenuhi pelancong, terutamanya di hujung minggu. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar untuk dijadikan kenang-kenangan. Berhadapan stesen keretapi ini terdapat sebuah muzium yang menempatkan sejarah pembinaan stesen ini.

 

2) Hua Hin Night Market & Cidaca Market

Pasar malam ini terletak di sepanjang Petchkasem Road. Dibuka dari jam 6.00 petang hingga lewat malam, di sini anda boleh membeli ole-ole untuk dibawa pulang serta menikmati pelbagai jenis makanan tempatan yang membuka selera seperti Pulut Mangga, Mangga Kering, Pulut Ayam dan juga Ais Krim Kelapa ala-ala Sangkaya.

Selain itu terdapat juga deretan restoran makanan laut. Cuma tidak ada yang berstatus halal kerana restoran-restoran ini menghidangkan arak kepada pengunjung. Jika anda tidak kisah, boleh mencuba makanan laut di sini kerana selain dijual dengan harga murah, rasanya juga sangat enak.

Jika anda berada di Hua Hin pada hujung minggu, jangan sesekali lepaskan peluang ke Cicada Market. Terletak di Khao Takieb – Hua Hin Road, night market ini sangat menarik untuk dikunjungi.

Merupakan singkatan dari Community of Identity Culture Arts & Dynamics Activities, pasar seni yang merupakan tempat berkumpul bagi bakat-bakat kreatif ini menjual berbagai produk yang lain daripada lain. Apa yang ada di Cicada Market tidak terdapat di Hua Hin Night Market.

Barangan di sini unik dan istimewa. Jadi, kalau sudah berkenan dengan produk yang terjual di sini, jangan banyak fikir, beli sahaja. Takut nanti terkilan kerana tidak boleh didapati di tempat lain.

Selain itu terdapat juga kedai yang menjual makanan halal yang menjual ‘signature dishes’ Thailand seperti Phad Thai, Seafood Bakar, Tomyam, Pulut Mangga, Ais Krim Kelapa, dan banyak lagi.

 

3) Hua Hin Beach

Pantai Hua Hin tidak kurang hebatnya. Pemandangannya cantik dan banyak aktiviti pantai dan laut yang boleh dilakukan. Membina istana pasir bersama anak-anak pasti menyeronokkan. Selain itu, ada juga aktiviti pantai lain yang ditawarkan oleh operator pantai seperti menaiki jet ski, banana boat dan parasailing. Satu lagi aktiviti yang sangat menarik untuk diikuti ialah menunggang kuda, Dengan bayaran THB300 (RM37.90) anda akan dibawa bersiar-siar sepanjang pantai selama 30 minit.

Alang-alang sudah sampai di sini, jangan sesekali lepaskan peluang untuk menikmati keindahan matahari terbit (sunrise). Magik alam ini cukup mempesona. Sesekali apa salahnya korbankan waktu tidur untuk merakam keindahan alam ini. Percayalah anda akan berasa cukup bahagia dan bertuah.

 

4) Mrigadayavan Palace

Mrigadayavan Palace yang terletak kira-kira setengah jam dari pusat bandar ini juga tidak kurang menarik untuk dikunjungi. Istana yang dibina sekitar tahun 1923 – 24 untuk Raja Rama VI (memerintah 1910 – 1925) ini direka oleh seorang arkitek Itali.

Merupakan istana tepi pantai yang dikenali sebagai The Palace of Love kerana ketika itu Raja Rama VI sangat berharap akan memperolehi zuriat sebagai pewaris takhta. Istana ini sudah tidak digunakan lagi dan kini dibuka kepada orang ramai untuk melihat keindahan senibinanya. Caj masuk ke sini ialah THB30 (RM3.80).

Perlu diingatkan anda perlu berpakaian sopan. Pengunjung yang berseluar pendek atau memakai skirt pendek akan diberikan kain sarung untuk dipakai. Begitu juga dengan mereka yang memakai baju terdedah, ada baju yang perlu disarung sebelum masuk ke kawasan istana.

 

5) Swiss Sheep Farm, Cha-Am

Untuk ke lokasi  ini, perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit dari pusat bandar Hua Hin. Tarikan yang mula dibuka pada tahun 2012 ini memang sukar dilepaskan terutama untuk yang bercuti bersama keluarga.  Pasti anak-anak anda seronok dapat melihat kambing biri-biri secara dekat. Malah boleh rebut peluang memberi susu kepada anak-anak kambing.

 

 

Bayaran yang dikenakan untuk memasuki Swiss Sheep Farm ini ialah THB150 (RM18.95) untuk dewasa. Biarpun kawasannya tidak seluas mana, namun banyak sudut-sudut menarik untuk merakam kenangan. Maklumlah ia menampilkan suasana percutian di negara Eropah. Mercu tanda Cuma agak memenatkan jika ke sini ketika cuaca panas. Beri masa 1 jam ke 2 jam untuk mengelilingi  ‘ladang Eropah’ ini.

Kredit foto : Tuan Zailan