Membaca kalam Allah secara istiqamah

Kehidupan Hanita Hassan 04-Jun-2020
Mengaji secara istiqamah © Yunlutas | Dreamstime.com

Sesiapa sahaja yang membuat satu kebajikan yang diniatkan semata-mata kerana Allah SWT, paling sedikit dia akan mendapat 10 pahala.  Membaca Al-Quran itu bukan dikira selepas membaca keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu ganjarannya 10 pahala.

Abdullah bin Mas’ud r.a. menyatakan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa membaca satu huruf daripada Al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan.  Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali.  Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis riwayat dari Sunan At-Tirmidzi)

Kita baharu sahaja keluar daripada madrasah Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al-Quran.  Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.”  (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sebagaimana usaha kita untuk membaca Al-Quran sehingga khatam pada Ramadan lepas.  Kita juga boleh melakukan perkara yang sama selepas Ramadan.  Sambil mengaji, kita fahami dan tadabbur maksud ayat yang dibaca.

Sebagai umat Islam akhir zaman, Al-Quran adalah senjata yang boleh menjadi penerang kehidupan.  Al-Quran adalah kitab yang mengandungi wahyu daripada Allah SWT.  Ia juga memberi hidayah dan keterangan bagi membantu umat Islam membuat banyak keputusan dalam menjalani kehidupan ini.

Apabila kita berjaya memulakan bacaan Al-Quran pada Ramadan lepas dengan bersungguh-sungguh, ia juga boleh dijadikan pemangkin untuk melatih diri  istiqamah (ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus) melakukannya pada bulan-bulan seterusnya.

Istiqamah hanya akan terbentuk sekiranya kita boleh membiasakan diri membaca Al-Quran setiap hari.  Kita boleh mengaji sehari sehelai muka surat atau sehari satu juzuk atau sehari satu ayat sahaja.

Kita juga boleh mengaji selepas setiap solat fardu lima kali sehari.  Kebiasaan yang dibuat ini lama kelamaan akan menjadi rutin dalam hidup.  Apabila ia menjadi rutin, maka kita akan berasa gelisah jika tidak dapat mengaji walau sepotong ayat dalam sehari.

Abdullah bin Amr r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran nanti, ‘Bacalah dan naiklah serta tartilan sebagaimana engkau di dunia mentartilnya kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.”  (HR Abu Daud, At-Tarmizi dan Ibnu Hibban dengan sanad hasan)

Berdasarkan hadis ini, ulama menyatakan ada riwayat lain menjelaskan orang itu nanti akan terus membaca satu demi satu ayat Al-Quran sehinggalah dia tiba di syurga tertinggi iaitu Syurga Firdaus.  Apabila tiba di Syurga Firdaus baharulah dikatakan, “Berhentilah, ini adalah kedudukan kamu di akhir ayat yang kamu baca.”

Justeru, isilah masa lapang dan jangan dibiarkan waktu kosong tanpa sebarang perkara bermanfaat.  Tidak kira di mana sahaja kita berada, sama ada semasa menunggu waktu solat, waktu rehat di pejabat, di dalam bas atau di mana sahaja sewaktu kita berkelapangan, kita   baca surah-surah yang mudah dihafal.  Jadikan Al-Quran teman sepanjang hayat.