Membaca makanan minda

Selera Hanita Hassan 21-Apr-2020
Membaca tidak kira di mana © Tri Harjono | Dreamstime.com

Buku adalah jambatan untuk mendapatkan ilmu. Melalui buku, kita memperoleh maklumat secara langsung.   Ramai orang yang berjaya di dunia mempunyai tabiat suka membaca. Tabiat membaca boleh menjadikan kita manusia yang lebih cerdik memahamkan fakta, memperkukuh perbendaharaan kata serta penguasaan linguistik dan yang paling utama, berfikir dahulu sebelum bercakap.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (Al-Alaq, 3-4).

Sejarah telah membuktikan bahawa buku berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis daripada segi politik, falsafah serta sosio-ekonomi dalam kalangan kelompok manusia.  Ketika tentera Tartar menyerang Damsyek pada tahun 669 hijrah, mereka memusnahkan Perpustakaan Agung Baitul Himah. Ada riwayat yang mengatakan Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat banyaknya buku-buku yang dibuang. Ini dilakukan untuk mengelakkan orang Islam bertambah kuat.

Situasi yang sama juga pernah berlaku di China di mana pihak pemerintah membakar buku-buku berbau Confucian bagi mengelak pengaruh ajaran itu tular.  Di Jerman, golongan mahasiswa di bawah rejim Nazi melancarkan ‘biblioclasm’ atau pemusnahan buku, bagi menghapus buku-buku  bersifat ‘anti-Jerman’ pada 6 April 1933.  Pembakaran buku adalah antara instrumen utama menguburkan pengaruh sesebuah idealisme, corak pemikiran, doktrin dan budaya rejim yang berkuasa.

Ketika zaman kegemilangan Empayar Melayu Melaka sekitar akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16, buku Hukum Kanun Melaka menjadi asas rujukan dalam Undang-undang Negeri dan Undang-undang Laut. Melaka ketika itu adalah pusat perdagangan dunia dan pelabuhannya menjadi tempat persinggahan para pelayar dari timur dan barat.

Memetik kata tokoh ulama dan sasterawan tersohor alam Nusantara, Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah atau Buya Hamka: “Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik. Bacalah buku-buku yang bermanfaat, roman yang berisi, ketahui jalan pikiran bangsa sendiri…”

Antara buku yang boleh dibaca ialah karya-karya Buya Hamka atau Pak Hamka yang tidak lapuk dek zaman. Karya beliau mengandungi ilmu yang boleh mengisi rohani dan jasmani.  Pak Hamka telah menghasilkan tidak kurang daripada 115 buku sepanjang hidupnya.  Malahan tidak kurang 195 buku berkait dengan beliau kini berlegar dalam masyarakat seluruh Nusantara.  Karya ini tidak termasuk tulisan-tulisan di media sejak remaja hingga beliau menghembus nafas terakhir.

Justeru, marilah kita meningkatkan ilmu dan memperkuatkan Islam dengan amalan membaca.  Carilah keberkatan dengan membaca kisah-kisah para sahabat Rasulallah SAW dan bersegeralah dalam melakukan perkara yang baik.