Membayar zakat fitrah secara dalam talian

Kehidupan Chan Abdullah 15-Mei-2020
Bayar zakat secara dalam talian © Ababil12 | Dreamstime.com

Kewajipan menunaikan zakat adalah suatu ibadah wajib yang terkandung di dalam rukun Islam. Terdapat pelbagai jenis bayaran zakat yang diwajibkan dalam agama Islam, antaranya ialah zakat fitrah.

Kewajipan menunaikan zakat fitrah mula difardukan pada tahun kedua selepas hijrah sebelum hari raya dan ia hendaklah dikeluarkan sebelum menunaikan solat sunat hari raya.

Daripada Ibn ‘Abbas r.a. berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta untuk menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh sebab itu, sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka jadilah ia zakat fitrah yang diterima. Sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka jadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam berdepan kelaziman hidup yang baharu akibat wabak COVID-19, zakat fitrah masih perlu disempurnakan bagi mereka yang berkelayakan. Tidak boleh ke masjid atau kaunter bayaran zakat fitrah bukanlah satu alasan kerana kini anda boleh membayar zakat fitrah secara dalam talian.

Terdapat beberapa platform berguna untuk membayar zakat fitrah yang telah disediakan, antaranya ialah:

  • Laman web rasmi pusat pungutan zakat negeri
  • Aplikasi SnapNPay – Melalui aplikasi ini, pengguna hanya perlu mendaftar akaun seterusnya mengimbas kod yang disediakan oleh pusat zakat yang mengambil bahagian. Setakat ini, pusat zakat negeri yang mengambil bahagian melalui aplikasi ini ialah Kuala Lumpur , Perak, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Sarawak dan Sabah. Pengguna boleh muat turun aplikasi ini menerusi Google Play Store atau Apple App Store. Proses pembayaran akan disambungkan secara terus ke portal pusat zakat yang dipilih oleh pengguna.
  • Aplikasi Boost – Difahamkan, aplikasi ini menawarkan dua jenis zakat iaitu Zakat Fitrah dan Zakat harta. Selain itu, aplikasi ini turut memaparkan maklumat berkaitan harga beras secara langsung. Buat masa ini, hanya negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah sahaja yang sedia menerima pembayaran zakat fitrah melalui aplikasi ini. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Play Store dan App Store.

Anda boleh rujuk kepada pusat pungutan zakat negeri mengenai harga zakat fitrah yang perlu dibayar. Harga zakat fitrah adalah bergantung kepada jenis beras yang anda makan. Namun, jika berkemampuan adalah digalakkan untuk anda membuat bayaran yang lebih.

Jadi, kepada yang masih belum membayarnya, jangan lupa menunaikan kewajipan untuk membayar zakat fitrah anda.