Memberi pelukan kepada anak kita

Keluarga Hanita Hassan 29-Sep-2020
Muslim family
Peluk anak selalu © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Anak adalah permata berharga kepada semua ibu bapa. Bersyukurlah apabila kita dikurniakan dengan anak yang sihat, comel dan cerdik. Tanggungjawab menjaga dan mendidik seorang anak itu amat besar.  Ia tidak boleh dilakukan sambil lewa kerana anak ini nanti akan membesar dan menjadi khalifah di muka bumi. Untuk menjadi khalifah, anak perlu dididik setara dengan ciri-ciri yang diperlukan itu.

Apabila kita berpeluang duduk dan bersama anak, gunakanlah waktu itu  sebaik mungkin. Setiap kali bertemu, peluk dan ciumlah anak kerana ia membuktikan keprihatinan dan kasih sayang kita kepada mereka. Saranan melakukan pelukan dan ciuman adalah daripada Rasulullah SAW sendiri yang mana Baginda turut melakukannya terhadap cucu-cucu, Hassan r.a dan Hussain r.a.

Abu Hurairah r.a berkata:  Rasulullah SAW pernah mencium al-Hasan bin Ali r.a sedangkan di samping beliau ada al-Aqra bin Habis At Tamimi sedang duduk, lalu Aqra berkata: “Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun.” Maka Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda:  “Barang siapa tidak mengasihi mereka maka ia tidak akan dikasihi.”  (Hadis riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW juga mengajar mengusap kepala anak sebagai salah satu kaedah menawan hati mereka.  Dalam sebuah hadis, diriwayatkan Rasulullah SAW memberi salam kepada anak-anak dan mengusap kepala mereka.  Daripada Anas r.a, suatu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu beliau memberi salam kepada mereka dan berkata:  “Bahawa Rasulullah SAW sentiasa melakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak).”  (HR al-Bukhari dan Muslim)

Kajian daripada Universiti British Columbia mendapati sentuhan ibu bapa dengan anak-anak mampu menjejaskan tahap molekul mereka.  Apabila kita sering memeluk dan mendukung anak, kita sebenarnya sedang menukar DNA mereka. Bagi kanak-kanak yang mendapat kurang sentuhan fizikal daripada ibu bapa didapati lebih mudah tertekan. Sentuhan boleh mengubah profil molekul mereka.

Percayalah, tanpa mengira usia, anak memerlukan pelukan kasih sayang daripada ibu ayah.  Jika dilihat daripada mata kasar, tidak nampak kesannya tetapi hakikatnya ia memberi satu kuasa luar biasa.  Aura negatif, marah, dan emosi terganggu ibu ayah juga boleh hilang apabila memeluk anak.

Banyak perkara magik akan berlaku akibat daripada perbuatan memeluk anak.  Ada kajian mendapati anak yang mendapat pelukan ibu ayah mempunyai  IQ yang lebih kuat berbanding anak yang jarang dipeluk.  Pelukan juga sebagai tanda bahawa kita menyayangi anak dan menyokong mereka dalam apa situasi sekali pun.

Selain itu, pelukan juga boleh membantu meningkatkan keyakinan diri dan hormon gembira, menguatkan sistem imunisasi, merangsang perkembangan anak, mengawal emosi negatif dan lebih tenang.

Walau bagaimanapun dalam mendidik dan mengasihi anak, ibu bapa juga perlu bertegas untuk menghasilkan kesempurnaan.  Sekiranya anak melakukan kesilapan, hendaklah ditegur supaya anak tidak mengulangi kesilapan itu.

An-Nawawi dalam kitab al-Adzkar berkata:  “Kami meriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni, daripada Abdullah bin Busr Al-Mazini r.a ia berkata:  “Ibuku mengutusku kepada Rasulullah SAW dengan membawa seikat anggur.  Namun aku memakan sebahagiannya sebelum aku berikan kepada Baginda.  Ketika aku sudah bertemu Baginda, Baginda memulas telingaku dan mengatakan, “Ini adalah pengkhianatan.”

Marilah kita praktikkan ilmu yang baik ini supaya generasi hari ini dan masa hadapan menjadi lebih cemerlang.