Memberi salam – jadikan ia amalan

dreamstime_s_176989583
Memberi salam - jadikan ia amalan © Odua | Dreamstime.com

Memberi salam sesama Islam adalah punca kasih sayang dan tanda kesempurnaan iman.  Ia adalah sunat yang amat dituntut oleh Rasulullah SAW.  Daripada Abdillah bin Amr bin al-‘As r.a, sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Manakah amalan yang paling baik di dalam Islam?”  lalu Baginda SAW menjawab: “Hendaklah engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau sudah kenal dan juga kepada orang yang belum engkau kenal.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud ‘Salam’ dan lafaznya

Dalam bahasa Arab, ‘Salam’ bermaksud ‘kesejahteraan, keamanan, kedamaian dan keselamatan’. Assalamualaikum maksudnya ‘Salam sejahtera ke atas kalian’. Assalamualaikum warahmatullah maksudnya ‘Salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat Allah’. Dan Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh ertinya ‘Salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat serta berkat Allah’.

Bagi anda yang mendengarnya, wajib menjawab dengan adab dan sopan.  Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Bahawasanya seseorang telah datang menemui Nabi lalu mengucapkan ‘Assalamualaikum’.  Nabi bersabda: ‘Untuknya 10 kebaikan’. Kemudian yang lain datang dan mengucapkan ‘Assalamualaikum warahmatullah’.  Maka Nabi bersabda: ‘Untuknya 20 kebaikan’.  Setelah itu datang seorang yang lain pula, lalu mengucapkan ‘Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh’, Nabi bersabda: ‘Untuknya 30 kebaikan’.”

(HR Imam Tirmizi)

Anda boleh mengucapkan salam kepada saudara seagama walaupun tidak mengenalinya tanpa mengira jawatan, status atau kedudukan atau sama ada anda kenal atau sebaliknya.  Ia  adalah amalan  positif bagi mendoakan kesejahteraan serta menceriakan hari orang yang anda temui.

Setiap kali anda memberi salam, anda pasti mengukir senyum. Situasi ini akan menceriakan hari anda serta orang yang disapa selain dapat mengeratkan ukhuwah dan mengenali saudara seagama yang baharu anda temui.

Adab-adab bila mengucapkan salam

Selain itu, anda juga hendaklah mengucapkan salam apabila masuk ke dalam rumah walaupun rumah atau tempat tersebut tidak berpenghuni.  Ia tercatat dalam firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah (yang) bukan rumah  kamu, sehinggalah kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian supaya kamu mengambil pengajaran.”

(Surah an-Nur, ayat 27)

Dalam memberi salam, ada adab-adab yang boleh diamalkan.  Mendahului memberi salam balasannya besar di sisi Allah SWT.  Sepertimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Anda juga boleh menjawab ucapan salam yang diberikan dengan ucapan yang sama atau lebih baik.  Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan yang sepadan dengannya).  Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.”

(Surah an-Nisa, ayat 86)

Memberikan ucapan salam juga sebaiknya mengikut turutan yang betul. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Hendaklah orang yang berkenderaan memberikan salam kepada orang yang berjalan.  Yang berjalan kepada yang duduk, yang sedikit kepada yang ramai (dan hendaklah yang muda kepada yang tua).”

(HR Bukhari dan Muslim)

Ucapkan salam dalam kadar suara yang secukupnya dan tidak menyebut alaikassalam. Biasakan ucapan salam kepada seberapa ramai orang sepertimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Umar. Beliau sanggup ke pasar semata-mata untuk mengucapkan salam kepada semua yang ada di pasar walaupun dia tidak bertujuan membeli apa-apa di sana.

Inilah sunah yang ringan namun berat timbangan pahala di sisi Allah SWT.