Membesarkan anak remaja dengan kaedah Islam

Jeunes enfants jouent avec parents Musulmans
Membesarkan anak remaja dengan kaedah Islam © Odua | Dreamstime.com

Salah satu cabaran terbesar yang bakal dihadapi dalam hidup anda sebagai ibu bapa adalah mendidik anak-anak dan membesarkan anak remaja dengan kaedah Islam. Cabaran ini mencapai kemuncak apabila anak  mula memasuki usia remaja.

Remaja merupakan satu tahap kehidupan yang  penuh dengan cabaran dan ia sering menimbulkan sakit kepala kepada anda yang mahukan anak remaja anda membesar sebagai manusia yang berakhlak mulia serta mempraktikkan ajaran Islam.

Ramai kalangan ibu bapa Muslim di seluruh dunia yang keliru atau bingung akan kaedah yang sesuai untuk membesarkan anak remaja dengan kaedah Islam. Sekali lagi, Islam terbukti menjadi panduan dalam kehidupan kerana mengajar banyak kaedah bermanfaat bagi menangani hal ini.

Kaedah yang disarankan dalam Islam

Perkara  pertama yang perlu ada dalam fikiran anda  bahawa tugas ibu bapa bukan suatu hobi atau kerja separuh masa tetapi  pekerjaan yang perlu dilakukan sepenuh masa. Sebagai ibu bapa Muslim, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk membesarkan anak mengikut  kaedah  yang disarankan oleh  Islam.

Bagi mencapai tahap ini, anda hanya perlu meluangkan masa berkualiti bersama anak dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri mereka. Ia boleh dilakukan dengan lebih baik apabila anda dan anak sama-sama menghadiri kelas agama sekali gus memberi  lebih manfaat daripada apa jua permainan yang boleh anda dapatkan untuk mereka.

Kaedah yang paling berguna adalah dengan meluangkan masa membaca serta memahami al-Quran bersama anak-anak.  Anda hanya perlu memperuntukkan sekitar 15 minit setiap hari untuk bersama-sama menghayati maksud di sebalik ayat-ayat suci al-Quran serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Menerusi kaedah ini, anda dapat mendedahkan anak-anak dengan pelajaran yang paling penting iaitu sifat baik dalam diri. Dalam konteks ini, anda perlu meletakkan dalam minda bagaimana untuk memastikan  taktik ini berkesan. Contoh teladan terbaik  adalah diri anda sendiri. Sekiranya anda  ingin pelajaran yang diajar kepada anak memberi kesan, anda hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik.

Jangan melakukan kesilapan yang sama

Setiap kali mengajar anak tidak berbohong, anda juga hendaklah menunjukkan sikap yang sama. Sekiranya anda mengajar anak menghormati orang lain, maka anda  juga harus menunjukkan sikap yang sama apabila berinteraksi dengan orang.

Jelas bahawa anda tidak seharusnya melakukan kesilapan yang sama seperti yang pernah dilakukan kebanyakkan ibu bapa kepada anak remaja mereka. Ramai  kalangan ibu bapa bertindak seperti diktaktor dan melakukan apa sahaja untuk menyekat suara anak sehingga mereka memberontak dan  tidak lagi taat kepada anda.

Sebagai ibu bapa, anda hendaklah bersahabat dengan anak serta menghargai segala pandangan, pertanyaan serta pendapat mereka. Biarkan anak bebas dan bersikap terbuka dan usah menjadi penghalang terhadap ekspresi mereka. Jadilah rakan yang terbaik kepada anak remaja anda.

Setelah anda melakukan semua yang dilakukan sebagai ibu bapa, maka janganlah   lupa untuk berdoa kepada Allah SWT setiap saat agar sentiasa dikurnia dengan kebijaksanaan dan kepintaran dalam proses menangani dan membesarkan anak.

Semoga Allah SWT memudahkan urusan di mana sahaja anda berada di dunia mahupun di akhirat. Aamin.