Membesarkan anak yang soleh umpama amal berterusan

Sahsiah Syed Safri 15-Mei-2020
Anak soleh berkat asuhan baik © Dmitry Ersler - Dreamstime.com

Dalam Islam, cara mengasuh anak-anak adalah sangat penting. Para ibu bapa digalakkan agar berusaha sebaik mungkin untuk membesarkan anak-anak mereka sebagai Muslim yang memahami dan mengamalkan kepercayaan agama dengan baik.

Pahala membesarkan seorang anak yang soleh itu berterusan walaupun setelah ibu bapanya meninggal dunia. “Apabila anak Adam meninggal, maka terputus darinya semua amalan kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Sahih Muslim)

Fahamilah bahawa seseorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah atau suci, dan terpulang kepada ibu bapanya untuk membentuk anak mereka. Oleh itu, mengambil satu contoh, apabila anak kita melakukan sesuatu kesalahan, memarahi tanpa menjelaskan perkara yang sebenarnya tidak akan berkesan dalam apa juga keadaan.

Kanak-kanak belajar dari persekitaran mereka, dan mereka sering meniru apa yang dilakukan oleh orang lain. Islam mengajar bahawa ibu bapa harus mendisiplinkan anak-anak dengan berkesan tetapi ingatlah juga yang mereka dilahirkan tanpa dosa, bersih murni dan mereka belajar dari persekitaran mereka.

Kanak-kanak, terutamanya ketika mereka masih kecil, baru mula belajar membezakan antara yang benar dan yang salah. Maka, tugas ibu bapa ialah untuk mengajar anak mereka perbezaan tersebut. Ibu bapa adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas mereka. Umpama kerajaan dengan rakyat, lelaki dan keluarganya, dan sebagainya.

Amalkan berbuat baik dan rasa belas kasihan kepada orang lain, terutamanya dalam hal membesarkan anak-anak. Selain bersikap baik dan punyai rasa belas kasihan terhadap anak-anak, kita juga diajar untuk mendisiplinkan mereka dengan betul. Menetapkan peraturan akan memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar apa yang betul dan apa yang salah.

Kepentingan tanggungjawab boleh dijadikan pengajaran melalui hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah ta’ala telah menetapkan kewajiban agama (fara’id), maka janganlah kamu mengabaikannya; dan Dia telah menetapkan had, jadi jangan melampaui batas; dan Dia telah melarang beberapa perkara, jadi jangan melanggarnya; dan Dia tetap diam mengenai beberapa perkara, kerana belas kasihan kepada kamu, bukan kealpaan – jadi jangan mencari mereka.” (An-Nawawi)