Memburu mulia Lailatul Qadar

Malam seribu bulan © Oleksii Yaremenko | Dreamstime.com

Lailatul Qadar ialah malam seribu bulan yang sangat istimewa dan hanya terdapat dalam bulan Ramadan. Malam kemuliaan yang penuh keberkatan. Malam yang terkandung di dalamnya rahmat Allah yang amat besar di samping kelebihan kurniaan-Nya melebihi seribu bulan.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. (al-Qadr, 1-3)

Malam Lailatul Qadar dirahsiakan harinya dalam bulan Ramadan supaya kita sentiasa beribadat dan menghidupkan malam pada setiap malam.  Pada malam al-qadar, para malaikat turun ke bumi dalam satu angkatan yang besar penuh cahaya. Angkatan ini disertai oleh malaikat Jibrail untuk memberi penghormatan kepada orang yang berpuasa dengan ikhlas, juga untuk menyaksikan amal ibadat mereka serta mengembangkan kesentosaan, kesejahteraan dan rahmat kepada penduduk bumi.

Kata Imam Qurtubi : “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”

Malam tersebut turut dinamakan sebagai Lailatul Assalam iaitu malam kesentosaan, kesejahteraan dan keselamatan.  Ia juga dikenali sebagai Lailatul Syarif iaitu malam kemuliaan dan Lailatul Tajli iaitu malam di mana Allah SWT melimpahkan taufik, hidayah dan innayah-Nya kepada seluruh umat Islam.

Kita sering tertanya-tanya bilakah malam istimewa ini.  Para ulama telah bersependapat bahawa Lailatul Qadar akan berlaku di dalam malam-malam sepuluh yang terakhir di bulan Ramadan bersandarkan kepada banyak hadis Rasulullah SAW. Ada juga pendapat ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam ini (21, 23, 25, 27 dan 29).

Daripada Aishah r.a., bahawa Rasulullah SAW beriktikaf di masjid dalam sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadan, kemudian Baginda bersabda : “Carilah Lailatul Qadar dalam sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui, bila masanya dan kepada siapa daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang dikehendaki.

Sesungguhnya inilah saham akhirat yang cukup besar.  Amatlah rugi sekiranya kita sudah mengetahui akan kehadiran malam seribu rahmat ini tetapi masih tidak mengambil peluang  merebut ganjaran berganda yang disediakan Allah SWT.  Apa sahaja amalan baik yang boleh kita gandakan, kita lakukan tanpa ditangguh-tangguh.

Daripada Aisyah r.a., katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (bersungguh-sungguh beribadah dan menjauhi hubungan dengan isteri-isterinya)”

Justeru, marilah kita bersama-sama mengisi malam-malan terakhir Ramadan dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa.  Kita perbanyakkan doa dan meminta keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.  Semoga kita diberi peluang bertemu Lailatul Qadar pada Ramadan kali ini, Insya-Allah.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!