Memiliki hati yang baik

Keadaan hati dan diri © Reza Fahmi Kalkasandi | Dreamstime.com

Hati adalah anugerah Allah SWT yang paling berharga. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai organ dalaman tunggal terbesar dan bertindak sebagai kelenjar.  Ia juga menyimpan maklumat, memahami dan menyakini serta mengagihkan arahan ke seluruh tubuh.

Aktiviti otak yang membolehkan kita mendapatkan maklumat, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan turut di bawah kawalan hati.  Apabila hati dalam keadaan baik, maka tubuh badan kita juga dalam keadaan baik, begitu juga sebaliknya.

Begitulah pentingnya peranan hati dalam tubuh manusia. Sikap dan sifat kita dicorakkan oleh baik atau buruknya hati. Memiliki hati yang indah dan terpuji meletakkan kita di kedudukan tertinggi di sisi Allah SWT.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dari Nu’man bin Basyir)

Para sahabat sentiasa berusaha membaiki diri dengan merawat hati supaya melakukan perbuatan yang disukai Allah SWT.  Ini kerana keupayaan penaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran adalah terletak pada hati.

Abdullah Mas’ud r.a. pernah bertanyakan Rasulullah SAW berkaitan amalan terbaik yang disukai Allah SWT sehingga Baginda akan menjawab setiap persoalan secara berbeza-beza mengikut kadar keperibadian setiap orang yang bertanya.

Dalam merawat hati, kita memerlukan nilai kesabaran yang tinggi.  Sekiranya kita bersungguh dalam memperbaiki penyakit hati, pasti rahmat dan kasih sayang Allah mengiringi kehidupan kita.

Akhlak Nabi Muhammad SAW adalah yang terbaik yang boleh kita jadikan contoh. Sifat dan sikap terpuji Baginda bukan sahaja dalam konteks rumah tangga dan masyarakat, tetapi juga kedudukan sebagai pemimpin Islam.

Saad Ibnu Hisyam r.a. meriwayatkan beliau pernah bertanya Saidatina Aisyah r.a. mengenai akhlak Rasulullah SAW.  Ummul Mukminin itu menjawab:  “Akhlaknya ialah Al-Quran.”  (HR Ahmad)

Antara akhlak Nabi Muhammad SAW yang wajar diikuti ialah sifat pemaaf. Puncak sifat pemaaf Nabi antara lain ialah apabila Baginda memaafkan Wahsyi yang baharu memeluk Islam.  Ketika musyrik, beliau telah membunuh bapa saudara Baginda iaitu Sayidina Hamzah r.a. di medan perang.

Nabi Muhammad SAW juga bersifat lemah lembut dan penyayang kepada kanak-kanak. Baginda tidak akan melepaskan tangan kanak-kanak ketika bertemu selagi mereka tidak berbuat demikian. Perbuatan ini adalah sunah yang sama dengan sahabat yang lebih berusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kamu dan bukan pula kepada paras kamu, tetapi Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kamu.”  (HR Muslim)

Justeru marilah kita sucikan hati. Memiliki hati yang baik akan  membawa kita melakukan semua perbuatan, perlakuan dan amalan yang mendekatkan kepada Sang Pencipta yang Maha Esa.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!