Mempunyai daya pemikiran yang cerdas dan sihat

Kesejahteraan Mental 04 Mac 2021 Hanita Hassan
Pilihan
Mempunyai daya pemikiran yang cerdas dan sihat
Mempunyai daya pemikiran yang cerdas dan sihat © Pogonici | Dreamstime.com

Wabak COVID-19, telah menyebabkan kebanyakan penduduk dunia terpaksa duduk di rumah.  Ia bertujuan menghentikan rantaian penyebaran virus. Hal ini menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat mengalami kerisauan melampau.

Justeru, kembalilah kepada Allah SWT, mohonlah bantuan  dengan penuh ikhlas dalam setiap doa agar diringankan beban daripada  tekanan dan penderitaan yang sedang dihadapi.

Kesihatan mental dan emosi – daya pemikiran yang cerdas

Bagi yang terpaksa mengasingkan diri di rumah, anda perlu memastikan penjagaan kesihatan mental dan pemikiran kekal sihat. Walaupun ia mungkin mencabar, tetapi anda harus berusaha menghadapi perasaan sedih ini.  Mintalah pertolongan  Allah SWT agar kesihatan mental dan emosi anda terus sihat.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak  memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang Mu’min bertawakal.”(Surah al-i ’Imran, ayat 160)

Anda tidak seharusnya memikirkan perkara yang tidak memberi faedah dalam kehidupan. Kadang kala perasaan ini sukar untuk dielak.  Sungguhpun begitu, anda harus berusaha mengalih fokus dan menyibukkan minda  dengan perkara  yang  positif dan tenang demi perkembangan minda yang sihat terutama sebagai mukmin yang beriman.

Apabila anda mengetahui terdapat beberapa perkara dalam kehidupan yang sukar untuk diterima dan sedar anda tidak mampu mengubahnya, daripada anda terus  memikirkannya, lebih baik anda  menerima seadanya dan dengan hati terbuka.

Usah bimbang pandangan orang tentang hidup anda

Penerimaan akan membantu anda mempunyai daya pemikiran yang lebih sihat. Sebagai contoh, anda mungkin bimbang pandangan orang tentang cara hidup  atau pilihan yang anda buat.

Namun akhirnya, anda hanya perlu peduli tentang perkara yang dapat menggembirakan Allah SWT. Semakin anda memberi tumpuan  kepada Allah SWT, maka  anda tidak perlu lagi risau akan pandangan orang terhadap anda.

Istiqamah dan ikhlas dalam setiap ibadah yang  dilakukan. Apabila kita ikhlas ketika menunaikan solat, membaca dan mempelajari al-Quran, mengerjakan solat sunat Tahajud (solat malam), semasa berdoa, maka anda akan dapat meningkatkan daya pemikiran yang lebih sihat.

Perkara seperti ini memudahkan anda memperoleh ketenangan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Ketika ada di antara kamu yang berdiri untuk berdoa, dia berkomunikasi dengan Tuhannya, jadi biarkan dia memperhatikan bagaimana dia berbicara kepada-Nya.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Kelebihan bangun pagi dan diet seimbang

Bangun awal pagi membolehkan anda mempunyai lebih banyak masa  menyelesaikan tugas harian.  Anda boleh mengerjakan ibadat tanpa terburu-buru. Dengan masa yang panjang ini, akan membantu anda berasa lebih tenang sepanjang hari.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

” Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.”

(Hadis riwayat Sunan Ibnu Majah)

Diet yang seimbang juga penting untuk meningkatkan daya pemikiran yang sihat. Tidak perlu lagi diingatkan tentang pentingnya pengamalan pengambilan jumlah air yang betul, sarapan pagi yang baik dan pengambilan buah-buahan yang kerap yang dapat mengubah perasaan  kita sepanjang hari.

Sekiranya anda  tidak menjaga pemakanan, maka anda akan cenderung berasa letih sekali gus merangsang pemikiran atau perasaan negatif yang sukar dilupakan. Amalan gaya pemakanan sihat membantu anda kekal cergas, bertenaga serta menjalani gaya pemikiran yang lebih sihat.