Memuliakan tetamu dan bagaimana menjadi tetamu

Memuliakan tetamu di rumah © Odua | Dreamstime.com

Sesiapa sahaja yang memuliakan tetamu dan bergaul dengannya akan disayangi oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Memuliakan tetamu dan mengharapkan ganjaran Allah adalah tanda kesempurnaan iman seseorang.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamu yang datang menziarahinya serta mengeratkan silaturahim dengan semangat persaudaraan Islam.

Sesiapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, hendaklah bercakap dengan perkataan yang baik dan manis didengar atau pun berdiam sahaja dari bercakap perkara yang sia-sia.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT merakamkan dalam al-Quran tentang perbuatan Nabi Ibrahim a.s yang memuliakan tetamu yang tidak dikenalinya dan melayan tetamunya dengan baik (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27). Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat, namun Baginda tetap melayani mereka.

Kata Ibnu Kathir r.a di dalam tafsirnya: “Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim 4/300)

Kata Sheikh Amin Al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil.  Di antaranya ialah segera menghidang makanan dan minuman untuk tetamu, hidangan hendaklah yang terbaik yang ada di rumah, mendekatkan makanan kepada tetamu dan bercakap lemah lembut dengan tetamu. (Rujuk Adhwa Al-Bayan Fi Idhoh Al-Quran Bi Al-Quran 2/297)

Kemodenan bukan alasan untuk kita mengenepikan adab dalam apa jua keadaan termasuk dalam menjaga silaturahim. Beberapa tips ini diharap dapat membantu anda dalam memelihara adab-adab ketika bertandang dan berziarah.

Bagi tetamu, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah  siapa yang akan datang dan berapa orang yang akan datang bagi memudahkan membuat persiapan. Bawalah buah tangan sebagai menyuburkan ikatan silaturahim dan kasih sayang.

Apabila tuan rumah menyediakan makanan, hendaklah makan dengan segera dan tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.  Sekiranya hidangan itu tidak menepati cita rasa anda, jangan sesekali bercakap tentang makanan tersebut tidak sedap kerana boleh mengguris hati tuan rumah.

Sebagai tetamu, anda perlu menjauhi  perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah. Sunat bagi anda sebagai tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah.

Elakkan juga daripada duduk dan singgah terlalu lama sehingga tuan rumah berasa tidak senang duduk.  Anda perlulah bijak memilih waktu sesuai untuk datang bertandang.

Sesungguhnya melayan dan menyambut tetamu adalah akhlak  mulia dan amalan yang dianjurkan oleh Islam. Anda seharusnya  bersyukur dan bergembira apabila diziarahi tetamu. Inilah peluang yang diberikan Allah SWT untuk anda menambah pahala.

Sambut tetamu dengan wajah ceria dan hati terbuka.  Layan mereka dengan sebaiknya mengikut kadar kemampuan. Sekiranya tetamu yang datang tidak menyenangkan hati anda sebagai tuan rumah, ingatlah bahawa tetamu datang membawa keberkatan.

Layanlah tetamu anda dengan kebijaksanaan. Jikalau perlu untuk menegur, tegurlah dengan suara yang lembut supaya tidak terasa hati. Sebagai contoh sekiranya ada kalangan ahli keluarga tetamu orang kelainan upaya atau anak-anak autisme, sudah pasti tingkah laku mereka berbeza. Anda perlu memahami situasi tersebut.

Begitulah pentingnya kita memuliakan tetamu kerana amalan ini boleh menjadi asbab untuk kita mengecap nikmat Syurga.