Memupuk sikap rajin

Masyarakat Hagnas
Hagnas
Memupuk sikap rajin
Memupuk sikap rajin © Wall Hwang | Dreamstime.com

Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik insan yang rajin secara holistik. Baginda ialah seorang insan yang rajin beribadah sehingga bengkak-bengkak kakinya. Rasulullah rajin bekerja serta amanah sehingga Khadijah Binti Khuwailid r.a, perempuan bangsawan Quraisy tertarik pada sikap Baginda.

Rasulullah SAW juga rajin membantu masyarakat. Ramai yang memeluk Islam kerana santunan dan pertolongan Baginda.

Memupuk sikap rajin

Berdoalah supaya Allah SWT menganugerahkan sifat rajin dalam diri kita. Rasulullah SAW mengajar sahabat untuk membaca doa bagi mengelakkan diri daripada malas, iaitu:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan kesusahan, perasaan lemah dan malas, sikap bakhil dan penakut, hutang yang mengganggu fikiran dan orang yang menindasku.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketahuilah bahawa sifat malas adalah sifat munafik sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 142:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) kepada Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Lawanlah syaitan dan nafsu yang sentiasa ingin mengajak kita ke arah neraka dan menjauhkan kita dari Syurga-Nya. Syaitan melatih nafsu manusia supaya malas untuk beribadah, malas untuk berusaha dan malas untuk melaksanakan tanggung jawab diri sendiri.

Banyakkan menimba ilmu tentang rajin dan kelebihannya dan malas serta kesan buruknya dalam kehidupan. Semestinya sudah banyak pengajaran daripada orang-orang terdahulu tentang kesan sikap rajin dan malas dalam kehidupan.

Sikap rajin boleh membawa ke Syurga

Sikap rajin bermula di rumah dan ibu bapalah teladannya. Mulakanlah dengan diri ibu bapa menunjukkan sikap rajin dan dedikasi dalam kerja, memastikan rumah kemas dan libatkanlah anak-anak di dalamnya.

Libatkan anak-anak secara sukarela untuk memilih sama ada ingin membasuh pinggan di dapur dengan ibu, atau mengemas halaman rumah dengan ayah. Banyakkan perkongsian pendidikan tentang kelebihan bersikap rajin dan kesan-kesan malas bersama-sama anak-anak.

Ajaklah anak-anak untuk memanfaatkan masa yang Allah SWT kurniakan dengan baik. Bantulah anak-anak merancang aktiviti yang baik dan luangkanlah masa untuk mengawasi aktiviti mereka.

Sebagai pekerja pula, kita hendaklah melakukan kerja dengan rajin bukan dengan bermalas-malasan dan beralasan.

“Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.”

(Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, hadis 4932)

Hadis ini menunjukkan bahawa Allah SWT suka kepada orang yang bekerja dan melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Insya-Allah, sikap rajin boleh membawa kita ke Syurga, manakala sikap malas boleh menjerumuskan kita ke neraka. Binalah sikap yang positif dalam diri kita.