Menambah berkat dalam kehidupan

Agama Syed Safri 14-Apr-2020
Alhamdulillah! © Odua | Dreamstime.com

Terdapat banyak cara untuk meningkatkan berkat (barakah) dalam kehidupan kita yang mungkin sering kita terlepas pandang. Sebagai contoh, dengan hanya mengingati Allah Maha Suci dan Maha Mulia, menyedari kewujudanNya dan takut kepadaNya pasti akan membawa berkat dalam kehidupan kita. Seperti terkandung dalam Al-Quran yang mulia, surah ke 65 (At-Talaaq), ayat 2-3:

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) – Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. ”

Daripada ini, kita tahu bahawa jika kita takut (beriman dan bertakwa) kepada Allah dan menyedari (menginsafi diri) akan adanya Allah, Dia akan menjadikan kehidupan ini lebih mudah bagi kita. Allah akan menetapkan dan menyediakan rezeki (makanan, pendapatan, keuntungan, dll) bagi kita dari tempat dan punca yang tidak dijangka kerana ia berada di luar pemahaman kita.

Apakah yang boleh kita fahami apabila membaca ayat ini? Sebaiknya kita mengambil masa untuk memahami maksudnya secara keseluruhan. Kita diberitahu oleh Allah bahawa jika kita benar-benar mengagungkanNya, Allah akan membantu kita keluar daripada situasi yang paling sukar – perkara-perkara yang kita tidak sangka akan dapat diselesaikan.

Seterusnya, agama kita mengajar tentang kebergantung hanya kepada Allah, maka Dia akan membawa berkat dalam kehidupan kita. Sambungan dari surah ke 65 (At-Talaaq), ayat 3:

“…Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Allah Maha Suci dan Maha Mulia memerintahkan jika kita bergantung hanya padaNya, Dia akan mencukupkan semua keperluan kita. Kita tidak akan memerlukan apa-apa atau sesiapa lagi, kerana hanya Allah yang menentukan setiap perkara. Sebagai contoh, seseorang mungkin baru saja menyelesaikan peperiksaan yang penting dan bimbang akan keputusannya. Daripada terus menerus berasa bimbang, adalah lebih baik jika kita serahkan sepenuhnya pada keputusan Tuhan, itu adalah lebih baik bagi kita. Pastinya kita akan berasa lebih selesa dan aman tenteram.

Selain itu, mengucapkan alhamdulillah serta rasa syukur, berterima kasih kepada Allah di atas semua pemberianNya, tidak kira apa kesulitan yang dialami, akan membawa kepada berkat. Seperti ketetapan Allah dalam Al-Quran, surah ke 14 (Ibrahim), ayat 7:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu…”

Allah menyeru bahawa jika kita menunjukkan penghargaan atas semua perkara yang telah dikurniakanNya, Dia akan memberkati kita dengan lebih banyak lagi. Sudah tentu kita tidak mahu kehilangan peluang ini. Hanya dengan bersyukur, kita telah membuka banyak pintu untuk diri sendiri tanpa disedari. Kita membuka jalan untuk memperoleh lebih banyak berkat Tuhan.

Satu contoh terakhir, mungkin kita gembira dengan keuntungan perniagaan atau pencapaian di tempat kerja. Maka kita harus bersyukur kerana perkara-perkara inilah berkat dari Allah. Adalah disarankan supaya kita terus memperbanyakkan sembahyang, berdoa, berzikir serta bacaan Al-Quran untuk menunjukkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi. Dengan berbuat demikian, Allah akan lebih banyak lagi berbelas kasihan dan bermurah hati dengan kita.