Menanam dan berkebun terapi minda

Alam Sekitar Zalika Adam
Pendapat oleh Zalika Adam
Menanam dan berkebun terapi minda
Menanam dan berkebun terapi minda © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Setiap manusia mempunyai masa lapang yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti tertentu. Banyak aktiviti dapat digunakan pada waktu petang atau di hujung minggu. Kesemua aktiviti yang dijalankan bergantung kepada minat seseorang individu.

Ada yang suka bersenam, menjahit baju, bermain badminton, bola jaring, bercucuk tanam dan sebagainya.

Bercucuk tanam aktiviti popular sepanjang PKP

Profesor Dr Muhaya ada menyatakan:

“Tiga aktiviti yang paling baik pernah dibuat kajian iaitu: mengayuh basikal, bergimnasium dan bercucuk tanam. Antara ketiga-tiga aktiviti ini, bercucuk tanam adalah aktiviti yang paling baik dilakukan.”

Jelas menunjukkan bahawa aktiviti bercucuk tanam dapat menyihatkan badan dan dapat mengeluarkan peluh. Aktiviti berkebun dengan bercucuk tanam adalah aktiviti yang menarik perhatian rakyat Malaysia di sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lihat sahaja di FaceBook, pelbagai kumpulan tanaman kelihatan bak cendawan tumbuh. Peminat berkongsi pengalaman menanam pelbagai pokok seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan.

Lihat sahaja di kedai-kedai, terdapat  jualan pasu bunga, tanah hitam dan biji benih sayur-sayuran dan buah-buahan turut mendapat sambutan.  Jualan secara dalam talian juga viral diperkatakan.

Tumbuh-tumbuhan dalam al-Quran dan hadis

Kaitan tumbuh-tumbuhan dengan alam ciptaan Allah SWT adalah seperti ayat-ayat berikut:

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawasanya kami menghalau (awan yang mengandung) air ke bumi yang tandus, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman (Zar’an) yang daripadanya makan haiwan ternak mereka dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan?”

(Quran surah as- Sajdah, ayat 27)

Farman Allah SWT lagi:

“Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman (Zar’a); zaitun, korma, anggur dan segala macam buah-buahan. sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang memikirkan.”

(Surah An-Nahl, ayat 11)

Hadis daripada Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada seorang Muslim pun yang menaman pokok atau mengusahakan pertanian, lalu burung, manusia atau binatang memakan daripadanya kecuali akan menjadi sedekah untuknya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menanam dan berkebun terapi minda

Tatkala berkebun, kita dapat menghilangkan kepenatan bekerja seharian. Selain daripada itu, dapat mengurangkan tekanan semasa bekerja dan dapat meluangkan masa bersama keluarga.

Tanaman menjadi sinonim kepada kita apabila masa dapat dimanfaatkan, kawasan tanah yang terbiar dapat diusahakan dan ruangan yang sesuai untuk bercucuk tanam dapat disediakan.

Minda kita akan berasa segar, menghidu oksigen dan menikmati keindahan semulajadi hasil daripada bercucuk tanam. Seterusnya, hasil tanaman boleh digunakan untuk keperluan harian, di samping boleh menjual bagi menampung perbelanjaan harian. Apabila kita menghidu bunga, kita akan merasai terapi yang asli. Jiwa akan berasa tenang dan tenteram.

Oleh itu, kita digalakkan untuk bercucuk tanam agar kita dapat menghidupkan suasana yang segar dan harmoni di kalangan ahli keluarga. Kerjasama di kalangan anggota keluarga juga dapat mengeratkan kekeluargaan dan mewujudkan suasana kasih sayang.

Kita juga akan kembali kepada fitrah manusia yang berasal dari tanah. Disamping itu, anak-anak juga dapat mengenal tanam-tanaman, baja dan peralatan yang digunakan untuk bercucuk tanam.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.