Pendapat 09-Jun-2020

Menangani depresi dalam kehidupan

Muhammad Nassar
Luqman Hakim
Kolumnis Penyumbang
Rawat masalah depresi anda © Odua | Dreamstime.com

Penyakit depresi atau kemurungan ini bukanlah suatu penyakit yang asing buat rakyat Malaysia. Menurut statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2015, satu pertiga penduduk di negara ini mengalami penyakit kemurungan seumur hidup.

Penyakit kemurungan ini merupakan salah satu daripada masalah kesihatan mental. Malah bukan setakat memberikan kesan kepada kesihatan mental, kemurungan juga turut memberikan kesan kepada fizikal penghidapnya. Bagi kes yang lebih serius, pesakit gagal mengawal diri sehingga mencederakan diri mereka tanpa sedar.

Sebagai salah seorang yang mengalami kemurungan dan kecelaruan obsesif kompulsif (OCD), kehidupan seharian sememangnya mencabar. Sewaktu kemuncak penyakit kemurungan pada tahun 2016, menjalani kehidupan seharian memang mencabar dan menyakitkan. Kegagalan diri berfungsi secara normal sepenuhnya menyebabkan saya diberikan cuti hampir setahun lamanya.

Pelbagai episod mencabar ketika itu. Hubungan bersama keluarga terdekat termasuk isteri dan anak-anak juga sudah tidak sama seperti sebelumnya. Malah urusan penjagaan diri sendiri juga tidak berapa terurus. Badan dan minda sentiasa berada dalam keletihan dan kelesuan. Tiada lagi minat untuk melakukan apa-apa aktiviti. Apa yang selalu dilakukan adalah menyendiri dan termenung berseorangan.

Sewaktu disahkan oleh doktor saya mengalami masalah kemurungan, saya terus mendapatkan bantuan pakar. Sesi terapi setiap dua minggu dan bantuan perubatan yang disarankan telah saya ikuti. Hampir setahun lamanya juga masa yang diambil sebelum saya dapat menguruskan kehidupan sendiri.

Walaupun begitu, memang keadaan sudah amat berbeza seperti waktu sebelum ini. Contohnya di tempat kerja, banyak tugasan yang kurang mampu diselesaikan dengan baik berbanding sebelum ini. Malah stigma masyarakat terhadap pesakit mental juga agak kurang membantu.

Alhamdulillah, sokongan keluarga terutamanya isteri dan anak-anak membantu untuk menangani masalah kemurungan yang berpanjangan ini. Walaupun sentiasa ada suara-suara di dalam kepala yang selalu membisikkan perkara-perkara negatif, kini semangat lebih kuat untuk menangani gangguan tersebut.

Sebagai pembakar semangat, saya selalu mengenangkan isteri dan anak-anak serta ibu bapa. Saya juga selalu merujuk kepada ayat di dalam surah-surah Ash-Syarh, ayat 5-8: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”

Pengambilan ubat-ubatan dan terapi perlu diteruskan bagi membantu menangani dan menguruskan depresi dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang Muslim saya bersyukur kerana ajaran Nabi SAW dan agama membantu diri bersemangat melawan kemurungan.

Ianya sesuatu yang sukar, namun kehidupan perlu diteruskan juga. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan masing-masing. Malah, Allah menguji hamba-Nya bagi menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya dan mengangkat martabat hamba-Nya.

Artikel berkaitan
Pendapat
Pendapat 30-Jul-2020
Abi Aasim
Kolumnis

Usahlah disia-siakan usaha dan kerja keras barisan petugas hadapan negara dan rakyat Malaysia yang patuh sebelum ini. Jika terlupa atau kurang pasti, di sini saya ingatkan semula tentang peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi ketika meraikan Hari Raya Korban ini.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 23-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Begitulah sedikit sebanyak pegalaman saya dan keluarga bercuti di Pulau Pangkor. Lega dan seronok melihat anak-anak gembira dapat keluar beriadah dan bercuti setelah lama terperap di rumah. Banyak pengalaman baru yang diperolehi. Benarlah kata pepatah, 'Jauh perjalanan, luas pemandangan'.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 15-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sektor pelancongan kembali dibuka, saya dan isteri terus merancang untuk pergi bercuti ke Pulau Pangkor. Pulau Pangkor terletak di daerah Manjung, Perak. Sebenarnya sebelum itu ingin merancang bercuti di Kuala Terengganu, tetapi memikirkan jarak yang agak jauh dari tempat tinggal serta perlu mengambil cuti yang panjang, akhirnya Pulau Pangkor menjadi pilihan.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 05-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Mengambil pemain naturalisasi sebagai pemain sesuatu pasukan negara bukanlah sesuatu perkara yang baru. Dalam sukan lain misalnya seperti ping pong dan badminton, ramai pemain kelahiran China menjadi wakil negara lain. Malah dalam sukan bolasepak sendiri juga perkara ini sudah menjadi kebiasaan.

Teruskan Teruskan