Menangis Lebih Baik, Usah Pendam Perasaan

Sahsiah Rahayu Mat Nah 03-Jul-2019
seorang perempuan sedang menangis

Bermula dengan kelahiran, setiap individu akan memulakan perjalanan hidup mereka dengan sebuah tangisan.

Menangis adalah respon biasa seseorang manusia apabila berhadapan dengan situasi beremosi seperti sedih, gembira, takut dan cemas.

Kajian Crying and Health: Popular and Scientific Conceptions menjelaskan bahawa menangis adalah cara yang universal dan unik untuk mengekpresikan emosi.

Sementara di Jepun, seorang guru yang menggelar dirinya ‘namida sensei’ iaitu guru air mata, Hidefumi Yoshida telah mengajar mengenai kepentingan menangis kepada syarikat dan sekolah selama hampir enam tahun.

Katanya kepada Japan Times, tindakan menangis lebih berkesan daripada ketawa atau tidur dalam mengurangkan tekanan. Jika anda menangis sekali seminggu, anda boleh hidup bebas tanpa tekanan.

Pada 2014, beliau bekerjasama dengan Hideho Arita, profesor emeritus di Fakulti Perubatan di Universiti Toho, dan lain-lain, untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana menangis dapat mengurangkan tekanan.

Apabila Jepun menjalankan pemeriksaan tekanan tempat kerja mandatori pada tahun 2015 untuk syarikat dengan lebih daripada 50 pekerja, mereka dibanjiri dengan jemputan untuk bercakap dengan pekerja tentang kuasa menangis.

Menerusi entri Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, menangis mempunyai manfaat kesihatan yang baik. Ini kerana selepas menangis, bola mata yang kering akan kembali lembab.

Mata juga akan berasa lebih lega dan bergerak dengan lebih lancar. Ini kerana air mata juga mengandungi bahan anti kuman yang melindungi dari jangkitan mata. Air mata mengandungi lysozome yang dapat berfungsi sebagai antibiotik semulajadi.

Menangis akan membuatkan air mata mengalir ke rongga hidung. Jadi, ruang pernafasan akan menjadi lebih lancar, degupan jantung akan kembali normal. Dengan itu, seseorang itu akan akan merasa lebih lega dan tenang.

Berikut empat lagi kebaikan selepas menangis:-

1) Kesedihan dan kedukaan yang di alami dapat diredakan. Tangisan akan merangsang daya parasympathetic yang membantu seseorang individu untuk bertenang.

2) Anda akan berasa mudah tidur. Ada yang terlena dengan air mata yang masih bergenang. Jika anda mempunyai bayi, cuba perhatikan perkara ini, selepas menangis, bayi biasanya akan tertidur.

3) Hormon oxytocin dan endorphins akan dirembeskan. Hormon ini membantu untuk melegakan kesakitan fizikal dan emosi. Hormon ini juga berfungsi untuk mewujudkan kegembiraan dan keseronokan.

4) Toksin dan bahan kimia yang menyebabkan stress akan di keluarkan menerusi air mata. Pengkaji percaya, menangis dapat mengurangkan toksin di dalam tubuh badan.

Dari sisi Islam, menangis ternyata juga punya banyak keutamaan. Menangis yang dianjurkan adalah menangis karena Allah atau untuk hal-hal yang baik.

Menangis boleh membuatkan seseorang bermuhasabah dan salah cara menenangkan hati yang gundah.

Rasulullah S.A.W adalah individu yang sering menangis. Baginda menangis bukan kerana lemah, tetapi baginda menangis ketika solat, saat mengingati Allah.

Dengan menangis, maka hati mudah tersentuh dengan kekuasaan Allah Ta’ala. Menangis juga menjadikan diri seseorang rendah hati, mudah mengingat dosa, dan menjauhi hal-hal yang tercela.

Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia dan hellodoktor.com

Kredit foto : Thought Catalog on Unsplash