Menara Jam Condong dan tempat menarik di Teluk Intan

Singgah Chan Abdullah 09-Sep-2020
dreamstime_s_26765249
Menara Jam Condong Teluk Intan © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Teluk Intan adalah salah sebuah bandar yang terkenal di negeri Perak. Jika di Itali terdapat Menara Condong Pisa, Teluk Intan juga mempunyai Menara Jam condongnya yang tersendiri. Teluk Intan terletak di daerah Hilir Perak dan pernah menjadi bandar pelabuhan yang terkenal suatu ketika dahulu.

Teluk Intan ini dahulunya dikenali dengan nama Teluk Mak Intan sebelum penjajahan Inggeris yang menukar nama Teluk Intan sebagai Teluk Anson. Akhirnya kemudian namanya ditukar sebagai Teluk Intan oleh Sultan Perak. Teluk Intan juga merupakan Bandar Diraja bagi Raja Muda Perak.

Jika anda berpeluang mengunjungi Bandar Teluk Intan, anda bolehlah melawati tempat-tempat menarik berikut:

Menara Jam Condong Teluk Intan

Bangunan menara jam ini sebenarnya hanya tiga tingkat sahaja. Namun dari luar bangunan ianya nampak seolah-olah mempunyai lapan tingkat. Bangunan menara ini siap dibina pada tahun 1892 dengan fungsi utama sebagai tangki air.

Namun asas tanah yang lembut membuatkan menara ini condong sedikit demi sedikit akibat bebanan tangki air tersebut. Selepas lebih 100 tahun, menara ini masih gah berdiri. Kini menara ini dijadikan tempat tarikan pelancong.

Jeti Beting Beras Basah

Jeti Beting Beras Basah ini terletak berhampiran dengan Sungai Perak . Beting Beras Basah ini adalah kawasan berpasir yang kadang kala timbul dan kadang kala tenggelam apabila berlaku fenomena air pasang surut.

Pengunjung boleh melihat fenomena ini dengan berjalan di atas jambatan panjang yang dipanggil Panca Persada. Tempat ini juga dikatakan ada kaitan dengan istiadat pertabalan Sultan Perak.

Pusat Rekreasi River Front Teluk Intan

Pusat rekreasi ini sememangnya sesuai bagi mereka yang gemarkan pemandangan unik di tepi sungai. Taman rekreasi ini dibina indah dengan binaan batu – bata sepanjang 200 meter sepanjang tepi Sungai Perak.

Terdapat juga beberapa jeti sepanjang pusat rekreasi ini. Bagi penggemar fotografi, pastinya pemandangan matahari terbenam sepanjang taman ini menjadi hasil dan koleksi fotografi yang indah dan menarik.

Dah penat berjalan, boleh membasahi tekak yang dahaga dengan Cendol Durian Teluk Intan yang terletak berhampiran Masjid At-Taqwa. Bagi anda yang ingin menjamu selera pula, anda boleh cuba mengunjungi beberapa buah lokasi makanan menari di sini seperti:

  • Restoran Mastan Ghani – Restoran Mastan Ghani ini sudah mula bertapak sejak tahun 1961 dan kini diuruskan oleh generasi ketiga. Antara menu istimewa di sini sudah pastinya Mi Rebus Mastan Ghani.
  • Restoran Udang Galah Teluk Intan – Sungai Perak sememangnya terkenal sebagai kawasan pembiakan udang galah, Jadi tidak hairanlah jika anda dapat merasa keenakan udang galah di sini pada harga yang agak berpatutan. Pelbagai menu berasaskan udang galah yang boleh dipilih di restoran ini.

Pada sebelah malam pula anda bolehlah berkunjung ke Gerbang Malam (Uptown Teluk Intan). Gerbang Malam ini terletak berhadapan Menara Jam condong Teluk Intan. Bolehlah membeli ole-ole dan cenderamata buat yang tersayang di sini.

Walaupun bandar Teluk Intan tidak semoden Bandar Ipoh, namun ianya mempunyai daya penarik dan keunikan yang tersendiri.  Percutian anda di sini bersama sekeluarga pastinya memberikan seribu makna yang indah.