Menara Masjid Agadez di Niger, menara lumpur tertinggi dunia

Dunia Md Wa'iz
wathi.org – Agadez-768×461
Menara Masjid lumpur Agadez © wathi.org

Ada sebuah masjid yang terletak di Republik Niger yang mempunyai binaan lumpur tertinggi di dunia. Binaan lumpur tersebut adalah menara masjid itu sendiri. Masjid yang dikatakan ini ialah Masjid Agadez.

Masjid ini terletak di Agadez, Republik Niger. Apa kisah menarik di sebalik masjid ini?

Masjid dan menara lumpur Agadez di Niger, sejak abad ke-16 

Masjid Agadez ini boleh dikatakan sebagai antara masjid tertua di benua Afrika. Ia dipercayai telah dibina sekitar abad ke-16 iaitu pada tahun 1515.

Di kawasan padang pasir sahara, bahan untuk membuat bangunan tinggi seperti kayu-kayan, simen dan juga batu amat sukar untuk dijumpai. Oleh sebab itu, kaedah pembinaan yang digunakan bagi membina masjid ini adalah dengan menggunakan sumber bahan sedia ada iaitu lumpur.

Masjid Agadez dibina dengan menggunakan campuran lumpur, air, jerami dan juga batu kerikil. Kayu dijadikan sebagai perancah bagi menguatkan struktur binaan masjid ini.

Dikatakan penduduk asal kawasan ini iaitu orang Tuareg telah pergi ke sebuah bandar iaitu Timbuktu di Mali bagi mempelajari teknik pembinaan masjid ini. Oleh sebab itu, seni bina masjid ini agak serupa dengan masjid-masjid lumpur lain seperti Masjid Djenne di Mali.

Masjid ini pernah terbiar dan kembali dibaik pulih pada tahun 1844 dengan mengekalkan ciri binaan yang serupa dengan binaan asalnya.

Selain menara masjid, juga menara pemerhati kota

Bandar Agadez pernah menjadi sebuah kawasan tumpuan perdagangan dan juga pembelajaran yang dikunjungi banyak karavan-karavan pedagang. Bandar ini juga pernah mempunyai kubunya yang tersendiri bagi mengelakkan sebarang serangan musuh.

Menara Masjid Agadez juga pernah dijadikan dan digunakan sebagai menara pemerhati bagi kota ini. Untuk pengetahuan anda juga, menara masjid ini diiktiraf sebagai menara lumpur yang tertinggi di dunia.

Ketinggian menara ini mencecah 27 meter. Status ini telah menyebabkan menara masjid ini dijadikan sebagai simbol bagi bandar Agadez itu sendiri dan juga keseluruhan Republik Niger.

Agadez, pintu masuk gurun Sahara

Bandar Agadez digelar sebagai pintu masuk gurun Sahara. Bandar bersejarah ini bukan sahaja terkenal dengan menara masjidnya, tetapi juga bangunan-bangunan istana lama milik sultan yang memerintah kawasan ini.

Ia pernah diperintah oleh beberapa kesultanan sebelum dijajah oleh pihak Perancis. Kini, ia masih diperintah oleh seorang sultan iaitu Sultan Agadez. Pada tahun 2013, bandar Agadez termasuk Masjid Agadez telah menerima pengiktirafan sebagai kawasan yang dilindungi di bawah status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Masjid lambang kecekalan berpegang kepada ajaran Islam

Kesukaran mendapatkan bahan binaan dan kekurangan kos tidak menghalang masyarakat asal di Agadez untuk membina masjid bagi kegunaan mereka. Kecantikan dan keluasan masjid semata-mata tidak berguna sekiranya ia tidak dimanfaatkan dan diimarahkan dengan sebaiknya.

Masjid lumpur di Agadez ini jelas membuktikan bahawa kecekalan dalam berpegang dengan ajaran Islam telah membuatkan masyarakat di sana membina satu monumen yang terkenal sehingga ke hari ini.