Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Menarik! Sejarah ‘Orang Rantai’ di Kota Sawahlunto, Indonesia

Alam Sekitar 04 Feb 2021
Terkini
Menarik! Sejarah ‘Orang Rantai’ di Kota Sawahlunto, Indonesia
Menarik! Sejarah ‘Orang Rantai’ di Kota Sawahlunto, Indonesia © CC BY-SA 4.0, Pranala

Kota Sawahlunto adalah sebuah kota yang terletak di wilayah Sumatera Barat, Indonesia. Menarik mengenai kota ini, ia diiktiraf sebagai Kota Perlombongan Arang Batu Tertua di Asia Tenggara oleh pihak UNESCO.

Berikut adalah sejarah ringkas berkenaan Kota Sawahlunto.

Penemuan arang batu di Kota Sawahlunto

Pada abad ke-19, keadaan Kota Sawahlunto adalah sama seperti kota-kota lain di Indonesia. Malah ia mungkin lebih kecil daripada kota-kota lain.

Ia adalah sebuah desa yang terpencil kerana kedudukannya di tengah hutan belantara. Satu masa dahulu, penduduknya hanya bekerja sebagai pesawah padi dan petani. Jumlah penduduk pada ketika itu hanyalah sekitar 500 orang sahaja.

Namun, segalanya berubah ketika mana arang batu dijumpai di kota ini. Pada tahun 1867, ahli geologi Belanda, Ir. W.H.De Greve telah menemukan arang batu di kota ini, sekaligus menarik perhatian Belanda di kota kecil ini.

Pada tahun 1891, pihak Belanda dengan secara rasminya telah membuka lombong-lombong bagi tujuan melombong arang batu di kawasan ini.

Kebetulan, pada ketika itu, permintaan terhadap arang batu sememangnya tinggi di Eropah. Ini kerana arang batu sangat diperlukan untuk penjanaan mesin wap dan lokomotif di Eropah.

Kemuncak dan kemerosotan industri perlombongan arang batu

Pada sekitar tahun 1920 hingga 1920, ia adalah tempoh masa di mana perlombongan arang batu di sini mencapai kemuncaknya. Dikatakan pada ketika itu, terdapat beribu-ribu pekerja lombong di sana.

Kebanyakannya adalah penduduk tempatan dan juga tahanan politik serta banduan dari beberapa kota di seluruh Indonesia. Pada tahun 1930, jumlah penduduk di kota ini mencapai angka lebih 43,000 orang termasuk 564 warga Eropah.

Sejak tahun 1940 hingga 1970, permintaan terhadap arang batu mula berkurangan di seluruh dunia disebabkan kemunculan elektrik dan petroleum sebagai sumber tenaga baharu.

Kisah ‘Orang Rantai’ di kota perlombongan

Pada zaman perlombongan dilaksanakan, pihak Belanda menghadapi kekurangan jumlah pekerja. Mereka kemudiannya membawa para tahanan jenayah dan tahan politik dari beberapa wilayah di seluruh Indonesia untuk bekerja di sini.

Kesemua tahanan ini dirantai di kaki, tangan dan juga leher mereka bermula dari lokasi mereka datang hinggalah tiba di Kota Sawahlunto.

Apabila mereka tiba di kota ini, mereka telah diarah bekerja melombong arang batu dengan keadaan masih dirantai. Oleh sebab itu, mereka digelar sebagai ‘Orang Rantai’.

Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO

Pada bulan Julai 2019 semasa persidangan UNESCO di Baku, Azerbaijan, Lombong Arang Batu Ombilin Sawahlunto telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Antara kriteria utama pemilihan kota ini ialah kerana terdapatnya pertukaran teknologi tempatan dengan teknologi Eropah sewaktu aktiviti perlombongan dijalankan.

Selain itu, kota ini juga mempunyai contoh yang berbeza daripada segi seni bina dan jenis bangunan yang menjadikannya terpilih sebagai warisan UNESCO.

Kini jadi tumpuan pelancong

Kini, penduduk di kawasan ini sudah semakin berkurangan. Kawasan ini sudah menghentikan aktiviti perlombongan dan hanya menjadi lokasi pelancongan sahaja.

Anda boleh melihat kesan-kesan sejarah perlombongan seperti Terowong Mbah Soero dan rumah pekerja.

Selain itu, terdapat dapur yang menempatkan kuali dan periuk gergasi untuk memasak makanan pekerja. Kita boleh menghayati kesukaran bekerja di bawah pemerintahan penjajah apabila berkunjung di sini.