Ingatlah, hidup ini ada kebahagiaan dan kesedihan

Psikologi Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Ingatlah, hidup ini ada kebahagiaan dan kesedihan
Ingatlah, hidup ini ada kebahagiaan dan kesedihan © Odua | Dreamstime.com

Islam mengajar kita bahawa kebahagiaan dan kesedihan adalah sebahagian daripada kehidupan. Hidup ini hanya sementara. Kita hendaklah menerima hakikat bahawa Allah Taala telah mentakdirkan hidup ini untuk menguji hamba-Nya.

Semakin kita berusaha untuk memahami perkara ini, semakin mudah untuk kita mengatasi perubahan emosi dan pengalaman. Kita perlu melihat tujuan kehidupan ini diciptakan dan memahami bahawa kebahagiaan kekal bukanlah dicari di sini.

Ingatlah, hidup ini ada kebahagiaan dan kesedihan

Kebahagiaan yang suci dan kekal abadi hanya di Syurga. Itulah ganjaran daripada Allah SWT untuk amal soleh dan ibadah yang ikhlas. Di Syurga kelak tidak akan wujud kesedihan mahupun kesusahan.

Tidak akan wujud kepayahan atau kebimbangan. Semakin kita mendorong diri untuk belajar mengenai Syurga, ia akan memotivasi kita untuk melakukan kebaikan di dunia ini. Ia meyakinkan kita untuk segera memperbanyak  amalan  baik dan meletakkan ketakwaan kepada Allah Taala.

Kehidupan di dunia ini akan membuatkan kita berhadapan dengan pelbagai situasi bahagia, baik ketika berpindah ke rumah baharu, ditawarkan pekerjaan baharu, ditawarkan ke universiti, atau melayari bahtera rumahtangga.

Banyak perkara yang dapat memberi kebahagiaan dalam hidup kita. Apabila dilimpahi dengan kesenangan, kadang-kadang kita leka sehingga terlupa bagaimana rasanya kesedihan atau berada di bawah.

Kita hanyut dengan kesenangan yang dikurniakan sehingga lupa bilakah kali terakhir kita berasa kecewa atau sedih. Kita teruja dengan perkara atau situasi yang memberi kita kebahagiaan sehingga lupa diri.

Apa yang lebih berbahaya adalah setiap kali dilanda kesedihan, kita menjadi murung dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Melalui fasa-fasa kebahagiaan ini, kita masih melaksanakan solat kepada Allah SWT, tetapi mungkin tidak bersungguh-sungguh. Fikiran kita tertumpu dengan hal-hal duniawi. Kita menjadi malas untuk berzikir dan mengurangkan jumlah bacaan al-Quran yang biasa dibaca.

Setiap kesedihan dan kebahagiaan adalah sementara

Sebelum mengetahui tentang semua itu, kita pasti perlu berhadapan dengan titik kesukaran dalam kehidupan. Kesusahan itu membuatkan kita melupakan kebahagiaan yang pernah dialami dan melupakan semua perasaan sebelumnya.

Kita akan mula berfikir bagaimana untuk menghadapi kesukaran, sama ada kehilangan pekerjaan atau orang sekeliling jatuh sakit. Kita mulai berasa sangat kecewa dengan apa yang dilalui sehingga hampir berputus asa dan hilang arah tujuan.

Kesedihan yang melanda hendaklah memberi kesedaran untuk meletakkan kepercayaan hanya kepada Allah Taala. Kesedihan sepatutnya dapat mengeratkan hubungan dengan Maha Pencipta dan menjadikan kita lebih ikhlas setiap kali bersujud kepada-Nya.

Ia boleh menguat dan melepaskan diri daripada hanya melakukan  hal-hal duniawi yang  melemahkan keimanan. Kesedihan dan kesulitan yang diberikan kepada kita sebenarnya adalah peringatan bahawa dunia ini sementara dan mengingatinya akan membawa ketenangan dalam diri.

Kita akan berasa selamat apabila mengetahui bahawa Allah SWT tidak menjadikan dunia ini sebagai kediaman yang kekal. Setiap kesedihan dan kebahagiaan adalah sementara. Hidup ini juga sementara, sedangkan Akhirat itu kekal abadi selama-lamanya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”

(Surah al-An’Aam, ayat 32)