Mencari bahagia, menyingkir derita

Islam 22 Dis 2020 Hagnas
Pilihan oleh Hagnas
Mencari bahagia, menyingkir derita
Mencari bahagia, menyingkir derita © Airdone | Dreamstime.com

Pernahkah anda berasa sangat sedih, hari rasa remuk, air mata seakan-akan tidak berhenti mengalir. Jiwa gundah gulana dengan masalah, rasa sendirian walaupun hakikatnya ada kawan atau keluarga berhampiran?

Kesedihan adalah lumrah kehidupan. Cabaran dan ujian yang Allah SWT timpakan pada kita mestilah ada pahala serta balasan yang hebat yang Allah akan kurniakan kepada kita.

Bahagiakan diri sendiri

Cuba bahagiakan diri sendiri dengan memaafkan diri sendiri. Maafkanlah diri yang melakukan kesalahan pada waktu seseorang belum mampu berfikir selari dengan iman. Mohonlah keampunan Allah SWT.

Bertaubatlah andai kita melakukan dosa serta berazamlah untuk tidak melakukannya lagi. Maafkan diri yang tidak tahu, atau diri yang tidak mahu walaupun sudah tahu. Cuba maafkan diri sendiri dan mulakan hidup baru.

Jangan banding diri dengan orang lain

Jangan bandingkan dirimu dengan orang lain. Anda adalah anda, mereka adalah mereka. Terkadang, kita melihat indahnya situasi mereka di media sosial, sedangkan hakikatnya hanya yang manis dipertonton, yang kelat dan pahitnya ditelan.

Tinggalkan perbandingan dalam hal dunia, nescaya kita akan bahagia. Jangan bandingkan diri yang lemah dengan mereka yang dilihat gagah. Setiap bunga akan mekar, waktu dan ketikanya sahaja yang berbeza.

Bunga-bungaan juga tidak terfikir untuk membanding-bandingkan siapa yang paling cepat mekar, paling cantik, paling segar warnanya. Mereka hanya menyerahkan potensi mereka dari putiknya hingga kelopaknya berkembang mekar dan mereka bahagia dengan hasilnya.

Terima segala kekurangan diri

Cuba sebaik mungkin untuk menerima diri kita walau siapa pun kita. Terimalah kekurangan  yang tidak mampu diubah. Inilah diri sendiri yang patut difahami dan dicintai. Dengan menerima siapa pun diri kita, seseorang akan menyayangi dan menghargai diri sendiri.

Anda tidak perlu keluh kesah dan gelisah bila tidak dapat mencapai apa yang dimahukan, andainya anda sudah bersungguh-sungguh bila melakukan sesuatu. Sebagai ibu misalnya, anda mungkin tidak mampu menjadi super mommy seperti yang digambarkan oleh sesetengah orang.

Bekerja, pulang ke rumah, terus bertungkus-lumus memasak, mengemas, mendidik anak-anak dan sebagainya. Akurlah dengan apa yang kita tidak mampu lakukan.

Bersyukur dan bersifat pemurah

Mintalah pertolongan dari pasangan, keluarga dan sahabat. Saling membantu itu anjuran agama. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki sekarang. Tidak perlu menunggu kehidupan menjadi sempurna baru hendak mula bersyukur.

Kita juga tidak perlu kaya untuk mula membantu insan lain. Bersifat pemurahlah dengan waktu dan wang. Kita akan bahagia dengan memberi kebahagiaan pada orang lain.

Pilihlah untuk bersyukur pada hari ini. Jangan was-was untuk memilih sifat pemurah dengan masa dan harta kita. Pilihlah untuk bahagia, dan buanglah derita dari jiwa.