Mencari damai dalam diri

Damai seadanya © Martina Hanakova | Dreamstime.com

Sebagai umat Islam, kita berasa tenang apabila mengingati Yang Maha Pencipta. Manusia mencari kedamaian dalam banyak perkara. Rasa tenang dan damai boleh dikecapi dalam membaca buku, contohnya. Sama ada kita baca buku-buku bertemakan bukan fiksyen, fiksyen, atau kategori yang lain seperti penyiasatan , dunia misteri atau fantasi, kita cuba untuk mencari ketenangan dalam membaca.

Perlu diingatkan di sini, sumber kedamaian utama adalah dengan mengingati Allah SWT dan membaca Al-Quran. Allah berfirman kepada manusia dalam surah Al-Maaida (5), ayat 15-16:

“… Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya…Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”

Menurut petikan ayat tersebut, adalah jelas bahawa manusia akan mendapat ketenangan, malah lebih daripada itu apabila menggunakan atau memahami al-Quran. Al-Quran adalah panduan dan kita harus berusaha mengikutinya dan menyedari bahawa ia adalah suatu berkat yang amat besar. Daripada bersungguh-sungguh mencari kedamaian melalui perkara-perkara keduniaan, bukalah hati dan fikiran kita kepada Al-Quran dan luangkan masa untuk membaca dan merenunginya.

Allah SWT juga mengatakan dalam ayat di atas, bahawa Dia akan keluarkan dari kegelapan orang-orang yang berusaha untuk menyenangkan-Nya. Terdapat banyak masa dalam hidup kita bila kita merasa seperti berada dalam kegelapan. Kita mungkin merasa sedih, kesepian atau tertekan. Ini mungkin berlaku kerana kita tidak bersetuju dengan ahli keluarga atau rakan kita.

Mungkin juga kita bergelut di tempat kerja dengan tugas penting dan merasa tidak yakin dengan apa yang sepatutnya dilakukan. Dalam situasi seperti ini, kita mesti ingat bahawa Allah SWT akan mengeluarkan dari kegelapan, sesiapa yang berusaha untuk menggembirakan-Nya. Ingatlah bahawa fokus utama kita ialah  untuk menyenangkan Yang Maha Penyayang.

Kita juga mendapat ketenangan apabila kita bersyukur dengan apa yang kita ada. Sentiasa ingatkan diri sendiri tentang mereka yang kurang bernasib baik, yang hidupnya sukar daripada kita. Jangan kita tumpukan perhatian kepada mereka yang lebih bagus atau kaya, kerana ini akan mengalihkan perhatian kita dari fokus utama, iaitu untuk menggembirakan Allah SWT. Itulah sebab pentingnya menghargai apa yang kita miliki.

Islam mengajar bahawa lebih banyak dapat kita capai, termasuk meraih ketenangan, apabila kita sentiasa memuji Allah SWT dan bersyukur kepada-Nya. Dalam menjalani kehidupan seharian, biasakan bersyukur kepada Allah, tidak kira waktu dan masa, ketika sibuk atau semasa berehat. Suatu perkara yang sangat mudah, tetapi juga sangat bermanfaat bagi kita.

Maka, ingatlah firman Allah SWT dalam Al-Quran, surah Ibrahim (14), ayat 7:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”