Mencari hukum vaksin? Ini hukumnya yang ditentukan ulama seluruh dunia

Kesihatan 21 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Mencari hukum vaksin? Ini hukumnya yang ditentukan ulama seluruh dunia
Mencari hukum vaksin? Ini hukumnya yang ditentukan ulama seluruh dunia © Chayakorn Lotongkum | Dreamstime.com

Sudah lebih setahun dunia diserang dengan pandemik COVID-19. Kini, sudah tiba fasa di mana program vaksinasi besar-besaran akan dijalankan. Namun, masih ramai umat Islam yang berasa ragu dengan hukum vaksin ini.

Apakah hukum sebenar pengambilan vaksin?

Hukum vaksin ditentukan berdasarkan dalil Naqli

Setiap hukum yang ditentukan dalam Islam akan ditentukan melalui empat sumber iaitu Al-Quran, hadis, ijmak para ulama serta Qiyas.

Walaupun hukum vaksin ini tidak terdapat secara qat’ie atau tetap dalam al-Quran atau hadis, namun dalil penentuan hukumnya masih bersumberkan daripada kedua-dua sumber utama ini.

Allah Taala ada berfirman yang bermaksud:

“…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).”

(Surah al-Baqarah, ayat 195)

Selain itu, terdapat juga hadis-hadis yang menerangkan hukum berkenaan mencegah kemudaratan. Salah satunya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri seperti berikut:

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kaedah fikah mengutamakan nyawa manusia

Salah satu kaedah penentuan hukum dalam kaedah fikah ialah dengan mengutamakan nyawa manusia.

Dalam Islam, sebarang kemudaratan yang boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan hidup manusia mestilah dihilangkan dengan cara yang termampu. Begitu juga dengan kaedah fikah yang memberikan kuasa kepada pemimpin untuk menentukan sesuatu berdasarkan kemaslahatan rakyat.

Pada masa sekarang, vaksin adalah satu-satunya solusi yang mampu mengekang penularan wabak COVID-19. Oleh sebab itu, bagi mengelakkan lebih ramai manusia menemui kematian, penggunaan vaksin adalah sangat  diperlukan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk D. Luqman Abdullah turut menyatakan bahawa hukum vaksin adalah harus dan ia wajib diambil oleh mereka yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Malah, para ulama lain di seluruh dunia juga telah menyatakan bahawa hukum vaksin adalah harus.

Ini termasuklah:

  • Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Tayyib
  • Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE)
  • Majma’ Fuqaha’ Al-Shari’ah, Amerika Syarikat
  • Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia

Hukum vaksin ditentukan berdasarkan perbincangan dengan pakar

Islam menyeru umatnya agar merujuk sesuatu perkara atau isu kepada mereka yang berada dalam bidang tersebut. Ini untuk memastikan agar kita mendapatkan maklumat dan ilmu daripada mereka yang alim serta faqih.

Dalam penentuan hukum vaksin, kesemua pakar dalam bidang berkaitan telah dirujuk sebelum hukum vaksin diputuskan sebagai harus dan wajib bagi mereka yang telah ditetapkan.

Dalam soal penularan penyakit, para mufti dan agamawan telah merujuk kepada pakar perubatan yang semestinya alim dan faqih dalam bidang tersebut. Para mufti tidak sekali-kali menjatuhkan hukum vaksin tanpa sebarang rujukan daripada mereka yang alim.

Amalkan tabiat merujuk kepada mereka yang pakar dan alim

Sebagai orang Islam yang taat, kita perlulah mengikuti segala keputusan yang dibuat oleh mereka yang berpengetahuan dalam sesuatu perkara.

Apabia pihak agamawan dan mufti telah menyatakan hukum harus dan wajib untuk mengambil suntikan vaksin, maka hormatilah fatwa dan pandangan mereka. Sesungguhnya mereka lebih mengetahui apa yang mereka putuskan berdasarkan ilmu dan kemahiran yang mereka miliki.

Bagi orang awam, menuruti ijtihad serta pandangan ulama adalah salah satu tanda kita adalah umat Islam yang taat dan tawaduk.