Mencari Makanan Yang Halal Itu Wajib

Sahsiah Nor Syariza Tahir 17-Jul-2019

Apakah yang dimaksudkan dengan halalan toyyiban?

Sebagai seorang yang beragama Islam, adakah kita benar-benar memahami konsep ini?

Perkataan ‘halal’ berasal daripada frasa dalam bahasa Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan.

Manakala ‘toyyiban’ bermaksud sesuatu yang baik, yang membawa kepada pengertian keseluruhan konsep halalan toyyiban, iaitu makanan halal yang baik.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

 

Lambakan produk makanan dan minuman yang diragui status halal

Namun, apa yang berlaku pada hari ini, dengan lambakan pelbagai jenis makanan dan minuman yang boleh didapati di pasaran, agak sukar bagi kita memastikan kesahihan status halal atau haram sesuatu makanan itu.

Lebih mengelirukan, ada pengusaha makanan dan minuman yang mendakwa produk mereka adalah halal kerana tidak mengandungi unsur-unsur daging khinzir atau alkohol, namun mereka tidak mempunyai sijil perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Maka, timbullah perdebatan dalam kalangan pengguna di negara ini mengenai isu halal dan haram sesuatu makanan itu.

Jadi, sebagai seorang pengguna yang beragama Islam, bagaimana kita hendak memastikan bahawa kita tidak tersilap memakan makanan yang haram?

Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya sudah ada dalam diri kita, iaitu kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya – memahami konsep halalan toyyiban.

 

Konsep halalan toyyiban

Makanan halal terdiri daripada dua jenis, iaitu benda yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan dan benda yang bernyawa seperti haiwan.

Setiap yang tidak bernyawa adalah halal kecuali yang bernajis, memudaratkan atau memabukkan.

Haiwan yang bernyawa yang halal dimakan terbahagi kepada tiga iaitu haiwan di laut, di darat dan udara.

Manakala makanan halal yang toyyiban adalah makanan halal yang bersih dari segi rupa, bau dan zatnya; makanan berbentuk daging yang melalui proses penyembelihan yang sah dan tepat; serta makanan yang segar, berkhasiat dan tidak memudaratkan.

Ini bermaksud, makanan itu bukan sahaja hendaklah halal, malahan ia mestilah bersih dan diperbuat di kawasan yang bersih, dihasilkan daripada sumber-sumber yang bersih serta tidak memudaratkan kesihatan.

Kesemua faktor inilah yang membentuk konsep halalan toyyiban, yang perlu difahami oleh umat Islam untuk membantu kita membuat pilihan yang tepat.

 

Makanan dan premis yang disahkan halal oleh JAKIM

Jadi, bagaimana caranya untuk kita memastikan bahawa kesemua faktor ini dapat dipenuhi sedangkan kita tidak mampu untuk mengawasi setiap proses penghasilan makanan itu?

Cara terbaik dan termudah adalah dengan mencari produk dan premis yang mempunyai logo halal daripada JAKIM.

Di Malaysia, JAKIM diwujudkan sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak, penyelarasan pentadbiran Islam dan penyelarasan serta pembangunan pendidikan Islam.

Manakala Bahagian Pengurusan Halal JAKIM pula bertanggungjawab untuk menjalankan pensijilan halal di Malaysia bersama-sama Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Pengiktirafan sijil halal daripada Jakim amat dipandang tinggi dan diperakui hingga di peringkat global.

Ia disebabkan oleh piawaian yang ketat dan benar-benar mengikut garis panduan berlandaskan syarak bagi sebarang sijil pengiktirafan halal yang ingin dikeluarkan terhadap mana-mana premis atau jenama makanan.

Justeru, bagi mana-mana produk atau premis makanan dan minuman di negara ini, mereka digalakkan untuk memohon sijil halal daripada JAKIM bagi memastikan pengguna tidak was-was untuk menikmati makanan yang dijual.

Mencari yang halal itu wajib bagi umat Islam

Ini sekali gus dapat mengelakkan kita daripada memakan makanan yang haram, yang mungkin disebabkan oleh status syubhah terhadap makanan tersebut.

Ia selaras dengan anjuran Rasulullah S.A.W. seperti dalam sabdanya yang bermaksud: “Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam”. – HR Ibnu Abdil-Bar.

Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-An’nam, ayat 121 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa) dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.”

Foto: Dana Tentis, Fancycrave.com, T. Nguyen, Rawpixel.com (Pexels) & Halal Malaysia

 

 

 

 

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”