Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Mendaki Bukit Beruang

Alam Sekitar 19 Dis 2020
Terkini oleh Hanita Hassan
Mendaki Bukit Beruang
Mendaki Bukit Beruang! © Aidajobat | Dreamstime.com

Bukit Beruang atau lebih dikenali oleh para pencinta alam tempatan sebagai ‘Bear Hill’ terkenal antara bukit terbaik untuk didaki di negeri Melaka. Meskipun laluan pendakian tidak begitu sukar, namun anda memerlukan stamina yang tinggi untuk mendakinya sehingga ke check-point (CP) terakhir.

Berketinggian 116.3 meter, untuk ke kawasan ini anda perlu melalui kawasan taman perumahan iaitu Taman Bunga Raya. Terdapat sebuah menara telekomunikasi di sini. Anda tidak perlu risau kerana talian telefon cukup jelas. Berhampirannya terdapat beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Multimedia, Kolej Komuniti dan Universiti Teknikal Melaka.

Mendaki Bukit Beruang

Bukit Beruang dahulu hanya dikenali kalangan penduduk tempatan sahaja.  Namun, ia mula tular selepas beberapa gambar perkahwinan yang diambil di bukit tersebut.  Ia juga sering dijadikan tempat pilihan para peserta sukan marathon serta dakian untuk latihan dan stamina.

Pendakian mengambil masa sekitar satu ke dua jam bergantung kepada kecergasan anda.  Bagi yang tidak biasa dengan laluan denai, turut disediakan trek jalan tar yang boleh digunakan sebagai pendakian santai.  Namun digalakkan anda menggunakan laluan denai kerana ia lebih menarik dan mencabar.

Untuk tiba di check-point (CP) pertama – CP1, anda akan mengambil masa kira-kira 15 ke 20 minit bermula dari check point 0 (CP0).  Anda boleh merakamkan kenangan dengan bergambar di kawasan hutan ini. Terdapat beberapa laluan curam dan anda perlu sentiasa berhati-hati.

Bagi check point 2 (CP2), memakan masa kira-kira 20 ke 30 minit dari CP1.  Kawasan lapang ini sesuai untuk anda berehat sebentar melepas lelah sebelum meneruskan pendakian ke check point seterusnya.

Kawasan ini berlatar belakang kawasan perumahan. Sebelum mendaki, anda perlu pastikan membawa bersama air dalam botol minuman yang mencukupi. Botol minuman jangan dibuang merata-rata bagi menghargai usaha para pencinta alam sekitar dan pendaki yang menjaga kebersihannya.

Sesuai untuk yang baharu belajar mendaki

Memandangkan banyak kisah orang sesat yang terjadi di sini, anda digalakkan untuk pergi secara berkumpulan atau sekurang-kurangnya dua orang atau bersama pendaki yang sudah biasa dengan laluan ini.

Elakkan mendaki pada waktu petang kerana kawasan hutan di sini gelap dan tidak berlampu.  Sekiranya berlaku kecemasan, sukar untuk meminta bantuan. Setelah berehat sebentar, anda boleh meneruskan pendakian ke check point seterusnya iaitu check point 3 (CP3).

Kawasan ini berlatarbelakangkan batu bukit dan hutan. Bagi pencinta alam, inilah masanya untuk anda menghargai alam ciptaan Yang Maha Esa. Bau hutan dan bunyi-bunyian unggas begitu mendamaikan. Anda memerlukan sekitar 15 ke 30 minit untuk sampai ke sini.

Pendakian diteruskan ke check point 4 (CP4) selama 20 ke 30 minit. Anda akan dihidangkan dengan pemandangan bandar Melaka yang pesat membangun menganjur sehingga ke kawasan lautnya.

Pendakian di Bukit Beruang tidak terlalu sukar tetapi sesuai kepada anda yang baharu hendak mencuba. Dengan jarak yang pendek, anda boleh melakukannya selepas pulang kerja atau hujung minggu.

Selesai mendaki, anda boleh menikmati hidangan nasi lemak panas beserta sambal sotong di gerai berhampiran. Selamat mendaki dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT.