Mendaki gunung dan menghayati alam ciptaan Allah SWT

Sukan Hanita Hassan 20-Sep-2020
dreamstime_s_146934760
Di puncak Gunung Kinabalu, Sabah © Tanach Tamtarapat | Dreamstime.com

Hobi mendaki gunung atau memanjat bukit, meredah hutan dan sungai adalah antara kegiatan berkumpulan yang semakin mendapat perhatian masyarakat pelbagai golongan. Ia bukan sahaja membantu memantapkan fizikal tetapi juga menenangkan mental.

Menurut kamus dewan edisi keempat, mendaki berasal dari kata kerja daki yang bermaksud memanjat.  Ia boleh digunakan sebagai menggambarkan perbuatan seseorang yang cuba naik ke atas dan menuju puncak yang tinggi. Manakala gunung jika dirujuk dalam Kamus Dewan, ia membawa maksud besar dan tinggi lebih daripada 1,500 kaki atau 457.2 meter.

Antara gunung yang menarik pendaki serta pengkaji untuk didaki adalah seperti Everest (8,848 meter), K2 (8,611 meter), Kangchenjunga (8,586 meter), Lhotse (8,516 meter) dan Makalu (8,485 meter).

Keseronokan mendaki dapat dirasai tatkala anda sampai ke puncak dan menyaksikan pemandangan indah ciptaan Allah SWT serta mengambil iktibar daripadanya. Melihat bukit-bukau, gunung-ganang, langit membiru, hutan menghijau, sungai yang mengalir deras dan kehidupan belantara menginsafkan betapa agungnya ciptaan Allah dalam segenap sudut alam ini.

Firman Allah SWT:  “Katakanlah, mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya, kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu.  Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”  (Surah al-Ankabut, ayat 20)

Semua kejadian ini dijadikan Allah SWT adalah bersebab. Seperti bukit-bukau dan gunung-ganang sebagai pasak dan penstabil bumi daripada gegaran. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi ini sebagai hamparan dan gunung-ganang sebagai pasak.”  (Surah an-Naba, ayat 6-7)

Islam menggalakkan kita mengembara, melihat dan berfikir akan kebesaran Allah SWT, yang menjadikan setiap sesuatu di atas dunia ini.  Pengembaraan seperti ini akan lebih menguatkan keimanan kita sekiranya apa yang dilihat dan dilalui dikaitkan dengan Maha Pencipta.

Firman Allah SWT:  “Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk, Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada), Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya), bagi-Nya lah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya, bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia lah yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana.”  (Surah al-Hasyr, ayat 24)

Bagi pendaki yang sudah lama menggantung beg dan kasut masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia membenarkan semula aktiviti pendakian gunung, perkhemahan dan jungle treking dalam hutan bermula Jun 2020 yang lalu pasti menggembirakan walaupun dibenarkan untuk lawatan balik hari sahaja.

Para pendaki masih boleh mendaki dalam kumpulan tetapi tidak melebihi daripada 20 orang selain mematuhi penjarakan sosial serta peraturan operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Meskipun tidak dibenarkan bermalam, banyak pilihan gunung atau bukit yang  mempunyai jarak denai yang tidak jauh boleh diterokai.  Antaranya seperti Gunung Irau dan Mossy Forest di Cameron Highlands, Gunung Ledang, Johor dan Gunung Datuk di Negeri Sembilan.

Kepada para pendaki, sentiasa amalkan adab-adab ketika mendaki dan ikhlaskan niat supaya pendakian itu mencapai makna iaitu melihat kebesaran Allah SWT serta menginsafi diri.