Mendaki – tawan puncak Gunung Tahan

Alam semula jadi Hanita Hassan 17-Okt-2020
dreamstime_s_98022844
Pemandangan dari puncak Gunung Tahan, Pahang © Aisman77 | Dreamstime.com

Gunung Tahan (2,191 meter) merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan kedua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu (4,095) di Sabah. Meskipun lebih rendah daripada Gunung Kinabalu, namun kesukaran yang perlu dilalui untuk mencapai ke puncaknya sangat mencabar.

Gunung Tahan terletak di Taman Negara iaitu dalam negeri Pahang. Dakian untuk sampai ke puncak Gunung Tahan boleh bermula sama ada dari Merapoh atau Kuala Tahan, Pahang. Bagi pencinta alam dan pendaki yang sukakan cabaran, inilah gunung yang mesti dicuba. Selain stamina yang mantap, pendaki juga memerlukan semangat juang yang tinggi untuk mendorong sampai ke puncak.

Aktiviti dakian menguji hati

Mendaki juga adalah ujian yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih.  Aktiviti sebegini menguji hati untuk berada dekat dengan-Nya. Bagi Mukmin yang benar-benar bertakwa, setiap cabaran dan ujian umpama air yang akan membersihkan kotoran pada diri.

Adakalanya, Allah SWT tidak menghadirkan bantuan-Nya semudah yang diharapkan. Semuanya kerana Dia mahu mendidik hati supaya  berusaha keras mendapatkan sesuatu yang dihajati.

Pendakian yang mengambil masa selama dua hari untuk sampai ke puncak Gunung Tahan dan dua hari lagi untuk turun semula  akan menguji  kekuatan mental dan fizikal.  Sebagai pendaki, anda perlu melalui tujuh buah sungai dari yang kecil dan tenang sehingga yang lebar dan deras sebelum sampai ke destinasi tujuan.

Meskipun dibantu oleh jurupandu yang cekap dan faham dengan keadaan hutan, anda tetap kena berhati-hati.  Sebelum mula mendaki, anda perlu mengisytiharkan barang yang dibawa untuk memulihara kelestarian alam dan dibawa pulang dengan selamat semasa turun.

Pendakian dari Kuala Juram agak santai meredah empat buah anak sungai sebelum tiba di Kem Lata Luis.  Selepas berehat untuk solat dan makan tengah hari, perjalanan akan menjadi lebih mencabar dengan laluan sedikit menegak.

Menawan puncak Gunung Tahan

Para pendaki akan berhenti di Kem Kor (750 meter dari aras laut) bersebelahan sungai untuk bermalam. Suasana malam sungguh sejuk. Sekiranya tersilap pilih hari, anda terpaksa berdepan dengan hujan lebat.  Keesokan harinya pendakian diteruskan ke puncak melalui Bukit Good Morning sehingga ke Kem Permatang dan Kem Kor.

Setelah rehat untuk solat dan makan tengah hari, anda akan bergerak ke Kem Belumut dan Kem Bonsai yang penuh becak, selut dan lunyai. Kemudian ke Kem Botak (1,934 meter) dan dijangka tiba sekitar enam petang mengikut kekuatan masing-masing.

Apabila mendaki, anda perlu bersedia dengan baju sejuk kerana keadaan di Kem Botak sangat sejuk. Melihat kerdipan bintang di dada langit seolah-olah Tuhan sedang berbicara dengan anda. Takjubnya.

Puncak Gunung Tahan akhirnya dapat  ditawan setelah melalui laluan berbatu dari Kem Botak dalam masa 45 minit pada hari ketiga seusai Subuh. Para pendaki boleh mengambil foto buat kenangan, menyaksikan matahari terbit sebelum mendaki turun semula ke Kem Kor dan bermalam di situ. Hari keempat, anda akan bergerak mengikut laluan Kuala Juram sebelum menamatkan pendakian.

Sekiranya anda boleh mendaki sampai ke puncak Gunung Tahan, anda boleh melakukan apa sahaja dalam hidup selepas daripada itu. Oleh kerana itu, sebelum melakukan pendakian anda perlu membuat persediaan menghadapi segala kemungkinan sepanjang perjalanan mencari reda Allah SWT.

Apa yang penting sebelum mula mendaki, niatkan kerana Allah SWT.  Insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan-Nya. Selamat melakukan pendakian.