Mendidik anak-anak remaja dalam Islam

Ruangan Kanak-kanak Hagnas 18-Sep-2020
dreamstime_s_190339259
Mendidik anak-anak remaja dalam Islam © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Antara cabaran terbesar dalam kehidupan ini adalah membesarkan dan mendidik anak-anak. Ia akan menjadi lebih susah bila anak-anak ini sudah meningkat remaja. Zaman remaja penuh dengan cabaran yang boleh menyebabkan ibu bapa yang mahukan anaknya berakhlak mulia dan berperibadi muslim sakit kepala dengan perilaku anak-anak pada tahap remaja ini.

Ramai dalam kalangan ibu bapa Muslim di seluruh dunia keliru dan buntu memikirkan cara terbaik dalam mendidik anak remaja. Di sini, Islam sebagai panduan kita yang utama menganjurkan beberapa cara untuk menghadapi permasalahan ini. Perkara pertama yang perlu disematkan dalam diri ialah anda adalah ibu bapa sepenuh masa, bukannya identiti sebagai ibu bapa adalah seperti pekerja separuh masa. Tanggungjawab andalah untuk mendidik anak-anak berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Untuk mencapai hasil ini, anda haruslah meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak dan terapkanlah nilai-nilai Islam sewaktu berinteraksi dengan mereka secara langsung atau tidak langsung. Penerapan nilai-nilai Islam ini lebih bernilai daripada apa-apa sahaja permainan yang anda beli untuk mereka.

Satu tips berguna yang boleh diamalkan antaranya adalah dengan bertadarus al-Quran bersama-sama keluarga terutama anak remaja anda. Hanya peruntukkan 15 minit setiap hari untuk tadarus dan tadabbur ayat-ayat al-Quran sekaligus memperkukuhkan  hubungan anda sekeluarga  dengan Allah SWT. Dengan cara ini juga, anda dapat membina nilai-nilai akhlak Islam dalam diri mereka.

Untuk memastikan teknik ini berjaya, anda haruslah memberikan contoh yang baik. Sekiranya anda tidak mahu anak berbohong, maka adalah insan pertama yang tidak berbohong. Jika anda ingin mereka menghormati orang lain, anda perlu terlebih dahulu mempamerkan sikap ini.

Jangan sekali-kali melakukan kesilapan yang sama dengan ramai ibu bapa lain di saat mendidik anak-anak remaja ini. Antara kesilapan yang utama ialah ibu bapa bertindak ala diktator semata-mata untuk memastikan anak mereka patuh dan taat. Ini sebenarnya menyebabkan golongan remaja lebih memberontak dan tidak mentaati ibu bapa.

Sepatutnya ibu bapa hendaklah bersifat ramah dan mesra dengan anak-anak dan meraikan pandangan mereka, mengambil berat soalan yang mereka ajukan dan menghormati pendapat mereka. Bina anak-anak remaja ini agar boleh menyatakan perasaan mereka  apabila bersama dengan kita. Janganlah menghalang mereka daripada menyatakan keinginan dalam hati serta cubalah menjadi kawan terbaik buat mereka.

Setelah melaksanakan tanggung jawab sebagai ibu bapa dengan sebaik mungkin, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah SWT setiap masa supaya Allah memberikan hikmah dan kebijaksanaan dalam mendidik anak-anak. Moga Allah memudahkan urusan semua ibu bapa di mana sahaja anda berada, aamin.