Mendidik iman, ibadah dan akhlak

Sahsiah Hagnas 17-Ogo-2020
Mendidik iman, ibadah dan akhlak © Muhamad Edy Abdul Kasim | Dreamstime.com

Mendidik anak-anak, atau sesiapa sahaja anak didik kita, tidak akan terkecuali dari tiga asas iaitu iman, ibadah dan akhlak. Tidak mungkin iman itu benar lagi sejahtera dan sempurna tanpa berputiknya ibadah yang sahih dan akhlak yang mantap.

Begitu juga kita tidak hanya ingin anak kita tahu ibadah seperti solat dan membaca al-Quran, tapi ranap akhlaknya, hilang adabnya yang akhirnya menjadikan dirinya muflis di akhirat. Malah akhlak yang tidak terbina dari iman yang sejahtera sering menjadi punca perpecahan dalam kalangan manusia, samada di peringkat institusi keluarga mahupun masyarakat dan negara. Didiklah ketiga-tiga perkara ini dengan sabar dalam diri anak-anak kita.

Ini antara intipati utama hadis Jibril dalam Hadis 40 himpunan Imam Nawawi r.a – iman, ibadah dan akhlak. Adab adalah suatu yang sinonim dengan masyarakat Melayu, dan secara meluas diajarkan kepada kita juga dalam Islam ad-din tercinta. Ada pepatah Melayu yang mengatakan, ‘Ayah kencing berdiri, anak kencing berlari’. Contoh dari si ayah sangat penting buat anak.

Jika diinginkan suatu kebaikan buat anak kita, berusahalah terlebih dahulu untuk beramal dengan kebaikan tersebut, dalam keadaan yang lebih baik dari yang kita harapkan buat anak kita. Dalam perkara atau adab membuang air kencing sebagai contoh, tidak dinafikan terdapat pandangan dari kalangan sarjana Islam yang membenarkan kencing sambil berdiri.

Namun, kencing sambil duduk itu secara umumnya lebih beradab, lebih terpelihara kebersihannya terutamanya dari percikan najis air kencing yang berkemungkinan akan mengotori pakaian atau diri anak kita atau sesiapa yang kencing berdiri. Begitu juga soal aurat, yang biasanya lebih mudah terjaga saat kencing sambil duduk. Malah, dalam banyak keadaan kencing sambil duduk adalah kaedah yang sering dibuat oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan dalam hadis.

Begitulah dalam banyak perkara lain, qudwah atau contoh teladan lebih berkesan dalam mendidik anak-anak berbanding percakapan. Bayi yang belum pandai bercakap juga cepat meniru perbuatan yang baik mahupun buruk. Ingat, adab bermula dari teladan si bapa, dan tidak mungkin dilakukan secara paksa.