Mendidik nafsu bagi mengelak pembaziran

Sahsiah Hanita Hassan 07-Mei-2020
Jangan membazir! © Tang90246 | Dreamstime.com

Musuh yang paling utama bagi kita sebagai umat Islam adalah nafsu. Ia mampu menjerumuskan kita ke arah kejahatan di dunia ini.  Apabila kita mudah dipengaruhi hawa nafsu, segala kehendak tidak boleh dihalang. Tabiat mengikut hawa nafsu ini boleh diperbetulkan seperti menundukkan perasaan tamak dan haloba.

Baginda Nabi SAW menegaskan dalam hadis daripada Ibn Abbas r.a.: “Sejahat-jahat kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu.”  (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Hakikatnya, nafsu perlu ada dalam diri tetapi nafsu itu hendaklah dididik.  Nafsu yang tidak dididik dan dijinakkan akan mendatangkan kerosakan kepada diri di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Puasa adalah bulan yang mengajar nafsu agar dapat menahan lapar dan dahaga.  Puasa mendidik kita supaya mengelakkan pembaziran yang menjadi penyakit dalam masyarakat. Pembaziran mendorong kepada pelbagai kemudaratan. Ia juga menjadi punca pencemaran serta menghalang penghasilan gas rumah hijau, sekali gus menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim semasa.

Secara purata, sebuah keluarga dengan isi rumah terdiri daripada empat orang membazirkan hampir satu kilogram (kg) makanan setiap hari.  Jumlah ini biasanya meningkat di antara 15-20% pada bulan Ramadan dan perayaan besar seperti Aidilfitri.

Jumlah satu kilogram ini sekiranya ditukar kepada ringgit (RM), ia bersamaan RM11 sehari, RM210 sebulan atau RM2,600 setahun.  Ini menjadikan makanan sebagai komposisi tertinggi iaitu 45% daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah di seluruh negara.  Berdasarkan kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp), punca utamanya ialah kerana membeli secara berlebihan.

Sampah makanan dijangka meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan peningkatan pembelian barangan makanan, khususnya barang keperluan asas. Makanan perlu dilihat mempunyai nilai tinggi sebagai anugerah Allah SWT. Makanan juga sumber keberkatan. Anda perlu melatih diri menghabiskan semuanya kerana anda tidak tahu bahagian makanan mana yang terdapat rahmat.

Daripada Jabir r.a., Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya jari dijilat dan pinggan dikesat. Baginda bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bahagian manakah terdapat keberkatan.” (HR Muslim)

Di Malaysia, kos untuk menguruskan sampah di tujuh negeri di bawah SWCorp adalah sebanyak RM2 bilion setahun. Sejumlah kira-kira 37,890 tan sisa dihasilkan setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram bagi setiap individu pada tahun 2019.

Ketiadaan bazar Ramadan dan bufet Ramadan yang lazimnya diadakan setiap tahun sepanjang Ramadan memberi hikmah supaya masyarakat mengamalkan sikap berjimat cermat sekali gus membantu mengatasi lambakan makanan.

Program kitar semula tidak menjadi budaya hidup rakyat Malaysia.  Sekiranya amalan ini digerakkan dengan proaktif, kita dapat melindungi alam sekitar daripada pencemaran dan menyumbang kepada kesihatan awam.

Justeru, dalam kita mencari keberkatan Ramadan dan melipat gandakan pahala, kita juga hendaklah membulatkan tekad mengekang sifat boros dan membazir makanan.  Didiklah  diri setiap hari untuk bersederhana dalam hal makan minum, memberi kepada jiran tetangga dan mensyukuri nikmat seadanya.