Menegur biar bertempat!

Islam 07 Jan 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Menegur biar bertempat!
Menegur biar bertempat! © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Menegur orang kalau tidak kena tempat sudah tentu akan menimbulkan kemarahan kepada orang yang ditegur.  Apatah lagi jika yang ditegur itu orang yang lebih tua serta mempunyai kuasa atau kedudukan lebih tinggi daripada kita.

Seperti contoh rakyat menegur pemimpin, anak menegur bapa, pekerja menegur pegawai dan sebagainya. Meskipun perbuatan tegur menegur adalah sikap yang baik dan terpuji agar saling ingat mengingati, namun ia perlu dilakukan secara berhemah.

Menegur biar bertempat, betulkan kesilapan yang diketahui

Jika kita membaca sirah mengenai kehidupan seharian Rasulullah SAW, setiap hari Baginda bertemu dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Peranan Baginda ialah mengajak manusia kepada Islam dan membetulkan setiap kesilapan yang dilihat, didengar atau diketahui.

Perkara yang berkaitan dengan hukum akan Baginda selesaikan tanpa berlengah-lengah.  Baginda menegur kerana bimbang sikap berdiam diri dan berlambat-lambat akan berlaku salah anggapan dalam kalangan sahabat.

Contohnya kisah yang terdapat di dalam hadis yang maksudnya:

“Daripada Jarhad r.a bahawa Rasulullah SAW melintasinya sedang dia mendedahkan pahanya. Maka Rasulullah pun bersabda: “Tutuplah pahamu kerana ia adalah aurat.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa paha yang terdedah itu adalah aurat yang wajib ditutup oleh setiap orang yang beriman sekalipun dia seorang lelaki, kerana aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut.

Dalam kisah lain pula, ketika melihat Abu Jubair berwuduk, Baginda terus membetulkan kesilapannya melalui tindakan.  Baginda mengajarkan cara berwuduk yang betul kepada Abu Jubair.

Rasulullah SAW melarang memasukkan air ke mulut sebelum membersihkan tangan terlebih dahulu. Ini kerana dikhuatiri kotoran (kuman) yang terdapat pada tangan tersebut akan berpindah ke mulut jika tangan tidak dibersihkan terlebih dahulu. Ia boleh membawa penyakit dan dibimbangi akan membahayakan kesihatan seseorang.

Menjaga adab, berfikir ketika menegur

Meskipun kita perlu menegur apabila melihat orang lain melakukan kesilapan, namun teguran perlu dilakukan secara beradab.  Ia juga hendaklah kena pada tempat dan masanya.

Dalam menegur itu, kita boleh menyelitkan satu atau dua pandangan untuk memperbaiki kesilapan tersebut.  Jangan sekali-kali menegur orang lain biadap sedang hakikatnya cara kita menegur juga dikira tidak beradab.

Hari ini kepandaian manusia mencipta internet dan teknologi komunikasi telah mengubah bentuk dunia menjadi sebuah perkampungan global yang semakin mengecil.  Teknologi yang dibangunkan membolehkan kita menegur dan menasihati orang yang beribu batu jaraknya.

Kemunculan pelbagai aplikasi sembang dalam talian seperti Facebook, Instagram, Twitter serta perkongsian mesej melalui WhatsApp membolehkan sesiapa sahaja menulis dan menegur dengan bebas dan tanpa batasan seolah-olah sudah hilang pertimbangan.

Kita juga boleh menegur sesiapa sahaja hatta orang itu hanya dikenali di media sosial.  Banyak teguran yang dimuat naik di media sosial yang boleh dibaca oleh berjuta manusia dalam beberapa saat sahaja.  Cekapnya teknologi sering disalah guna yang akhirnya mengaibkan orang yang ditegur walaupun pada pandangan anda ia adalah baik.

Semoga kita sentiasa menjaga adab ketika menegur dan berfikir banyak kali sebelum menulis atau memberi komen kepada seseorang, terutama di media sosial.  Pengajaran dan iktibar daripada hadis Rasulullah SAW hendaklah dijadikan panduan untuk kita lebih bertakwa.