Meneladani  Nabi Muhammad SAW

Keluarga 17 Feb 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Meneladani  Nabi Muhammad SAW
Meneladani  Nabi Muhammad SAW © Elnur | Dreamstime.com

Umat Islam seharusnya mencontohi dan mengikut akhlak Nabi Muhammad SAW. Ini sekiranya diamalkan, akan memberi manfaat kepada semua makhluk termasuk haiwan.

Akhlak mulia Rasulullah SAW boleh disaksikan bukan sahaja dalam konteks rumah dan masyarakat, bahkan atas kedudukan Baginda sebagai pemimpin.

Apa yang diajar oleh sunah Rasulullah SAW?

Berdasarkan pandangan umum, yang didorong oleh desakan media, bahawa kaum lelaki tidak perlu menunjukkan perasaan mereka. Malahan, hendaklah menahan diri  daripada mempamerkan sifat lemah lembut.

Ia bukan sesuatu yang diajar oleh Islam. Kita tidak boleh terpengaruh dengan pandangan negatif masyarakat dan media sehingga mengabaikan sunah baginda Nabi Muhammad SAW semata-mata mahu mengikut acuan duniawi.

Rasulullah SAW merupakan seorang yang lemah lembut. Lembut tidak semestinya lemah. Seperti sifat air yang lembut, ia mampu memadamkan api. Malahan air yang lembut juga boleh menjadi tsunami sehingga menghancurkan satu kawasan atau negeri.

Justeru sama ada kita lelaki atau perempuan, berusahalah mencontohi sunah Nabi Muhammad SAW, bersopan dalam  tingkah laku mahupun pertuturan. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, dan Dia menyukai kelembutan dalam segala urusan.”

(Hadis riwayat Muslim)

Ketinggian akhlak Nabi Muhammad SAW  ketika berada di rumah.  Baginda turut  membantu isteri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju dan membaiki kasut sendiri.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari  bahawa Aisyah r.a berkata yang bermaksud:

“Aisyah r.a pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya?  Maka Aisyah menjawab:  Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah.  Dan apabila tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dalam kitabnya Asy-Syamail bahawa Aisyah r.a berkata yang bermaksud:

“Rasulullah SAW itu seorang manusia, Baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya.”

(Hadis riwayat Tirmidzi)

Meneladani Nabi Muhammad SAW

Imam Ahmad pula meriwayatkan bahawa Aisyah r.a berkata yang maksudnya:

“Rasulullah SAW menjahit sendiri bajunya, memperbaiki sendiri sepatunya, dan buat seperti apa yang dibuat oleh lelaki lain di rumah mereka.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dengan membantu isteri tidak merendahkan martabat Rasulullah SAW.  Sebaliknya Allah SWT  meninggikan darjat orang-orang yang memiliki sifat tawaduk. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang tawaduk (merendahkan hati) kerana Allah melainkan Dia akan meninggikan darjatnya.”

(Hadis riwayat Muslim, 2588)

Hadis di atas jelas menggambarkan akhlak Nabi Muhammad SAW ketika bersama ahli keluarga. Baginda tidak memerintahkan isteri atau khadamnya melakukan sesuatu yang boleh dilakukan sendiri.  Malahan Baginda faham hakikat sebagai ketua dalam rumah tangga.

Perkara ini  sangat penting untuk difahami. Ketika kita membesarkan anak-anak, kita perlu memastikan mereka memahami konsep dalam sesebuah rumah tangga.  Setiap daripada kita, tidak kira lelaki atau perempuan di dalam rumah mempunyai tanggungjawab masing-masing.

Apabila kita dapat mendidik anak dengan betul, ia akan menimbulkan keharmonian dalam hubungan adik-beradik dan ahli keluarga bukan sahaja hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang.

Justeru marilah kita teladani Nabi Muhammad SAW.  Semoga dengan mencontohi Baginda akan menjadikan kita dan keluarga serta masyarakat lebih cemerlang.