Mengapa buah Kurma patut ada di rumah sepanjang masa?

Makanan Sihat Adea Ghafar
Terkini
Mengapa buah Kurma patut ada di rumah sepanjang masa?
Mengapa buah Kurma patut ada di rumah sepanjang masa? © Dwiputrirats | Dreamstime.com

Apabila bercakap mengenai buah Kurma, secara automatik kita akan terus terkenang bulan Ramadan yang bakal tiba. Biarpun kita sedia maklum akan khasiat buah kurma, namun mengapa kita hanya makan sewaktu bulan puasa sahaja?

Sebaiknya amalan memakan buah kurma ini harus dikekalkan sepanjang tahun kerana khasiatnya yang sangat baik untuk tubuh badan kita.

Buah Kurma patut ada di rumah sepanjang masa

Kurma diamalkan oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi dengan protein, serat dan gula. Apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta.

Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan iaitu fruktosa dan sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

Kurma menyumbang tenaga serta-merta dan apabila tubuh berasa segar dan bertenaga, ia menghalang kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Buah kurma dimakan tanpa membuang kulitnya yang mengandungi serat. Ini amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan.

Kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat Khalal atau Rotab, dan menurun sedikit pada peringkat Tamar. Selain itu, ia mengandungi zat galian yang paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf dan kurma adalah sumber yang mujarab.

Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan. Sebenarnya, kurma juga setanding. Dalam bidang perubatan pula, dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Kurma yang versatil dan khasiat yang pelbagai

Perubatan homeopati ada menawarkan biji kurma yang dikisar menjadi seperti serbuk teh dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Ada petua di mana kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma turut dikatakan dapat menambah tenaga seksual atau batin.

Buah kurma boleh dibuat jus, jem atau sirap, dimakan segar, kering atau salai. Kurma juga boleh dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Dari segi nutrisi, kurma kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin.

Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian Dr. Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku ’Tempoh mengandung dari segi perubatan, fiqhiyah dan perundangan’, jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi.

Kajian Profesor Madya Aisyah Mohd Zain, Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan.

Khasiat kurma telah terbukti dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan minda dan tubuh badan serta membantu tumbesaran kanak-kanak. Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari penyakit barah, mencuci hati dan merawat buah pinggang.