Mengapa cemburu dan dengki?

Sahsiah Nur Adibah Ramly 01-Sep-2020
dreamstime_s_180057683
Cemburu dan dengki? © Heru Anggara | Dreamstime.com

Sebagai seorang Mukmin, kita hendaklah berhati-hati mengelakkan diri daripada timbul perasaan iri hati dan cemburu. Perasaan cemburu membuatkan kita lupa akan nikmat kurniaan Allah SWT. Ia mendorong kita untuk tidak bersyukur dengan apa yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita sebaliknya cemburu tentang apa yang dimiliki oleh orang lain. Kita perlu menyedari bahawa bersyukur adalah perkara yang sangat penting yang telah diajar oleh Islam.

Nabi Muhammad SAW bersabda  yang bermaksud: “Jangan kalian saling mendengki, jangan saling menipu, jangan saling membenci, jangan saling membelakangi, dan hendaklah kalian menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa dalam hidup dan iri hati terhadap orang lain yang mempunyainya, kita hendaklah menginsafi diri bahawa kita tidak sepatutnya menaruh perasaan sebegitu sebagai seorang Muslim. Kita harus meletakkan kepercayaan bahawa semua yang berlaku adalah dengan Ketetapan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Mulk, ayat 1)

Kita hendaklah sedar dan faham bahawa hanya Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita mungkin berasa bahawa kita tahu apa yang terbaik untuk kita, tetapi sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mengetahui.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Insaan, ayat 30)

Meletakkan kepercayaan  kepada Allah SWT merupakan sebahagian daripada iman. Cemburu terhadap seseorang tidak membuktikan bahawa kita telah meletak kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT, kerana ia menunjukkan kita masih lagi mahu sesuatu yang belum dikurniakan kepada kita. Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan ia merupakan sebahagian daripada ketulusan iman mempercayai Allah SWT dan meletakkan pergantungan penuh kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)

Kita hendaklah berhati-hati dan menghindari perasaan cemburu seadanya, kerana ia akan menjejaskan amal kebaikan kita. Bayangkan kita telah bekerja keras  mengumpul  amal soleh dengan menunaikan solat dan membaca al-Quran, tetapi kita telah menjejaskan amalan baik ini kerana perasaan iri hati? Kita mesti berfikir semula dan berusaha  menghindari perkara yang tidak mendapat keredaan Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah hasad (dengki), karena hasad akan menghanguskan kebaikan-kebaikan sebagaimana api menghanguskan kayu bakar.” (HR Abu Dawud)

Kita juga harus ingat bahawa sebagai umat Islam kita mesti mendoakan perkara yang baik-baik sahaja untuk orang lain dan memperlakukan mereka sepertimana yang kita mahu diperlakukan. Kita harus mendoakan yang baik-baik sahaja untuk mereka, sama seperti kita mahu mereka juga mendoakan yang baik-baik sahaja untuk kita. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim)