Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Mengapa golongan Mualaf berhak terima zakat? Ini jawapannya

Zakat 12 Feb 2021
Md Wa'iz
Mengapa golongan Mualaf berhak terima zakat? Ini jawapannya
Mengapa golongan Mualaf berhak terima zakat? Ini jawapannya © Alengolas | Dreamstime.com

Mualaf merupakan salah satu golongan yang berhak menerima bantuan zakat dalam Islam. Mengapakah golongan mualaf berhak menerima zakat?

Adakah mereka juga berhak menerimanya walaupun sudah kaya?

Golongan mualaf: salah satu golongan yang berhak terima zakat

Kita mungkin pernah tersalah sangka, bahawa zakat hanya untuk diberikan kepada orang susah atau orang miskin. Namun sebenarnya, terdapat lapan golongan yang diberikan keistimewaan untuk menerima bantuan zakat.

Dalam al-Quran, Allah Taala ada menyebut, yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Quran, surah at-Taubah, ayat ke-60)

Daripada ayat ini, Allah Taala telah menyatakan lapan golongan yang berhak menerimanya iaitu:

  • Golongan fakir
  • Golongan miskin
  • Amil zakat
  • Golongan mualaf
  • Golongan hamba
  • Orang yang berhutang
  • Fi sabilillah
  • Golongan musafir

Ternyata, golongan mualaf juga diberikan zakat oleh Islam. Mengapa mualaf diberikan keistimewaan ini?

Tujuan mualaf diberikan zakat

Golongan mualaf diberikan harta zakat dengan tujuan untuk mengukuhkan akidahnya yang baru sahaja memeluk Islam. Zakat juga diberikan sebagai satu hadiah untuk menggembirakan hati mereka yang mungkin melalui banyak cabaran dan halangan untuk memeluk Islam.

Ia juga sebagai satu bentuk penghargaaan atas keimanan yang dimilikinya. Zakat yang diberikan juga sebagai satu bentuk kemuliaan untuk dirinya daripada orang-orang Islam.

Mualaf masih berhak terima zakat walaupun kaya?

Miskin, tidak berharta atau tidak berkemampuan bukanlah syarat bagi seorang mualaf untuk menerima zakat. Lima golongan penerima zakat iaitu mualaf, amil zakat, orang yang berhutang, fi sabilillah dan musafir dikecualikan daripada syarat miskin bagi menerima zakat.

Walaupun golongan mualaf itu seorang hartawan atau ahli perniagaan, dia masih lagi berhak untuk menerima zakat bagi dirinya kerana haknya telah dijamin oleh Allah SWT. Ini kerana tujuan zakat diberikan kepada mualaf adalah untuk menguatkan akidahnya, bukan atas dasar kemiskinannya.

Oleh itu, sebagai seorang Islam, jangan sesekali kita mempertikaikan pemberian zakat kepada golongan mualaf. Ini kerana, pemberian zakat kepada mereka sudah tertakluk dalam al-Quran walaupun mereka bukanah orang-orang yang miskin.

Mualaf berhak menerima zakat walaupun dia seorang yang berkemampuan.